Khamis, 21 September 2017

Zainal minta PP hormati PKNS



Zainal Abidin Hassan
 
GEORGETOWN: Pulau Pinang diingatkan tidak memandang mudah cabaran PKNS walaupun bermain di laman sendiri di Stadium Batu Kawan esok, dalam misi memburu tiga mata penting untuk terus kekal dalam Liga Super.

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan berkata baki lapan lagi perlawanan terakhir adalah sangat penting untuk memastikan skuad Harimau Kumbang terus kekal.

"PKNS adalah sebuah pasukan yang berpengalaman, namun pemain kita khususnya keempat-empat pemain import kini sudah bersedia untuk berhabis-habisan dalam misi meraih tiga mata," katanya.

Zainal Abidin berharap anak buahnya akan mengambil peluang laman sendiri di depan penyokong setia Harimau Kumbang untuk menghasilkan kemenangan.

"Buat pertama kali semua empat pemain import Brandon Mcdonald, Mark Hartmann, Nigel Dabinyaba dan Sanna Nyassi akan dapat beraksi dalam perlawanan esok.

"Saya yakin mereka akan berikan apa yang ada untuk mencipta kemenangan pertama di laman sendiri," katanya.

Zainal Abidin berkata skuad Harimau Kumbang yang kini menduduki tangga tercorot daripada 12 pasukan dalam Liga Super, masih berpeluang membaiki kedudukan untuk kekal dalam liga elit itu musim depan.

Katanya, pemain Pulau Pinang sudah menunjukkan peningkatan khususnya dalam perlawanan menentang pendahulu liga Johor Darul Ta'zim (JDT) walaupun tewas 0-2.

Zainal turut meminta penyokong setia Harimau Kumbang untuk turun memenuhi Stadium Batu Kawan malam esok kerana sokongan mereka pastinya akan memberi impak luar biasa kepada pemain.

Selepas 14 perlawanan, Pulau Pinang hanya mampu mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas FELDA dan tiga keputusan seri menenatng Melaka United, PKNS FC dan Kelantan. - BERNAMA
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan