Rabu, 30 November 2016

Sejarah 20 tahun berulang lagi -- Skuad Smithterus gagal penalti

ARKIB : 18/04/1999
SEJAK 20 tahun lalu, pasukan yang dibimbing oleh jurulatih Ronald Smith tidak pernah bernasib baik apabila perlawanan bola sepak berkesudahan dengan tendangan penalti.

Keadaan itu berulang lagi pada perlawanan malam kelmarin apabila Johor FC terpaksa mengaku kalah kepada Selangor 3-4 setelah perlawanan sepenuh masa berkesudahan dengan seri tanpa jaringan.

Smith berkata, kemenangan perlawanan yang ditentukan melalui tendangan penalti adalah kurang adil dan ia lebih banyak bergantung pada nasib sesebuah pasukan.

Beliau yang ditemui, berkata, pihaknya lebih menerima keputusan perlawanan sekiranya kemenangan sesebuah pasukan itu ditentukan melalui jaringan emas.

"Sebagai jurulatih, tumpuan biasanya diberikan kepada persembahan dan strategi tetapi apabila terpaksa berhadapan dengan sepakan penalti, ia adalah satu perkara yang berbeza," katanya.

Menyingkap sejarah kekalahannya dalam sepakan penalti, katanya, ia bermula pada tahun 1979 di Iceland, begitu juga semasa menjadi jurulatih untuk pasukan Sabah pada tahun 1995 bila Sabah tewas kepada Pahang pada peringkat separuh akhir dan perlawanan ditentukan melalui penalti.

Begitu juga semasa perlawanan akhir Piala Malaysia 1996 apabila Sabah terpaksa mengaku kalah kepada Selangor juga dengan tendangan penalti.

Beliau juga memberitahu, sepuluh mata yang boleh diperoleh melalui tendangan penalti membawa banyak perbezaan untuk sesebuah pasukan dan contoh terbaik ialah Selangor yang setakat ini mendapat tiga mata dan mampu melonjakkan pasukan itu berada di tangga teratas.

Pada sepakan penalti itu gol-gol pasukan Selangor dijaringkan oleh Assrof Hanafiah, K. Sanbagamaran, Kamarulzaman Yob Majid dan Zainal Abidin Hassan manakala gol-gol Johor FC menerusi Sheikh Ahmad Redzuan Abu Bakar, Hamzani Omar dan Shukri Ismail.

Dengan kemenangan itu Selangor kini mengumpul 16 mata sementara Johor FC 14.

SUMBER- ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 17/04/1999

Selangor menang penalti

ARKIB : 17/04/1999
SELANGOR mengukuhkan kedudukan di tangga teratas bola sepak Liga Perdana Dua apabila menumpaskan pencabar terdekat Johor FC 4-3 menerusi tendangan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.

Gol-gol Selangor dijaringkan oleh Assrof Hanafiah, K. Sanbagamaran, Kamarulzaman Yop Majid dan Zainal Abidin Hassan manakala Johor FC menerusi Sheikh Ahmad Redzuan Abu Bakar, Hamzani Omar dan Shukri Ismail.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi terbaik mereka pada babak pertama dengan barisan Selangor berjaya mencemaskan skuad tuan rumah seawal minit ketiga, namun sepakan percuma Nazzab Hidzan gagal disambar oleh K. Sanbagamaran dan juga Shamsul Amri Abu Bakar.

Selangor yang menggunakan strategi hantaran jauh berjaya mengkucar-kacir benteng pertahanan Johor FC pada minit ke-16, namun bola larian solo yang dilakukan Rusdi Suparman pantas disekat penjaga gol Johor FC, Shamsol Sabtu.

Pasukan pelawat mengejutkan penyokong Johor FC pada minit ke-26, namun jaringan Paidiya Rau tidak dikira oleh pengadil kerana ofsaid.

Johor FC mendapat peluang terbaik pada minit ke-32, namun tendangan kencang Azni Ariffin pada jarak 25 meter berjaya ditendang keluar oleh Nazzab yang berada di garisan gol.

Kedudukan tanpa jaringan pada masa penuh permainan memaksa pemenang ditentukan menerusi penalti yang nyata menyebelahi Selangor untuk kemenangan 4-3.

Di Stadium Kubu, tuan rumah Telekom Melaka mencatat kemenangan keduanya dalam 90 minit permainan apabila menewaskan NS Chempaka 3-0.

Telekom Melaka membuka jaringan menerusi ketua pasukannya, Rosli Hasyim yang membuat tendangan lambung dari jarak 30 meter terus ke gawang pada minit ke-41.

Pada minit ke-48, tuan rumah menambah jaringan apabila R. Sekar menyempurnakan hantaran Rosli untuk gol kedua pasukannya. Rosli sekali lagi menceriakan penyokong tuan rumah apabila berjaya menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-81.

Kesilapan penjaga gol NS Chempaka yang cuba keluar jauh dari posisi membawa padah apabila Rosli yang membawa bola secara solo menolak masuk.

Di Stadium Sultan Mohamad Ke-4, Kota Bharu, tuan rumah Kelantan merampas kedudukan tangga ketiga liga apabila mengalahkan Perlis 2-1.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada masa pertama. Perlis mendahului menerusi jaringan V. Yogeswaran pada minit ke-52.

Begitupun, dua gol hasil jaringan Tan Cheng Hoe pada minit ke-59 dan Mohd Nidzam Adzha Yusof, minit terakhir permainan melengkapkan kejayaan bergaya tuan rumah untuk naik satu anak tangga.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RUQaSpSe © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 29 November 2016

Selangor rampas takhta liga Perdanan Dua

ARKIB : 27/03/1999
PEMAIN Selangor, Ahmad Fairuz Yunus (kiri) tetap teguh mengawal bola biarpun seorang pemain pertahanan Melaka menerjahnya pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Shah Alam, semalam. Selangor menang 6-1.

KEHADIRAN Rusdi Suparman membawa tuah kepada selangor apabila tiga jaringannya membantu tuan rumah menumpaskan pendahulu liga Perdana Dua, Melaka 6-1 di Stadium Shah Alam, semalam.

Selangor meraih kemenangan pertama dalam masa penuh permainan, apabila dua perlawanan terdahulu berkesudahan seri, tetapi mereka menang menerusi penalti.

Selangor nyata menguasai permainan dan Rusdi mendapat kesempatan terbaik apabila menolak masuk bola pada minit ke-37.

Usaha-usaha yang dilakukan pasukan pelawat gagal memecah kebuntuan dan membenarkan Selangor mendahului 1-0 sehingga tamat babak pertama.

Sebaik bermula babak kedua, Selangor kembali garang dengan Rusdi sekali lagi membantu Merah Kuning mendapatkan gol kedua, apabila tendangannya ditampan masuk pemain lawan, Mohd. Hussein Sheikh Abdul Kadir pada minit ke-47.

Seminit kemudian, Rusdi menjadikan kedudukan 3-0 apabila membuat larian solo, sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan dan dia melengkapkan hatrik pada minit ke-50 untuk gol keempat tuan rumah.

Kehadiran Nazzab Hidzan turut membantu menguatkan pasukan Selangor, apabila dia menghasilkan gol kelima Selangor pada minit ke-58, hasil bantuan ketua pasukan, Rusdi.

Bekas pemain kebangsaan dan pemain veteran, Zainal Abidin Hassan melengkapkan kemenangan Selangor apabila menjaringkan gol keenam pada minit terakhir permainan.

Gol sagu hati Melaka diperoleh menerusi Rashid Mahmood pada minit ke-76. Johor FC pula terus cemerlang apabila menewaskan Tentera 2-1 untuk meraih tiga mata penuh pada perlawanan di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.

Gol pertama Johor FC dijaringkan oleh Ahmad Norhapiza Bashri menerusi tendangan penalti pada minit ke-48.

Pemain tuan rumah, S. Karthigesan dijatuhkan oleh pertahanan pasukan pelawat, Wong Sai Keng dalam kotak penalti.

Shamsul Sulaiman menambah jaringan pasukan tuan rumah pada minit ke-55, apabila menyempurnakan hantaran Shahrul Ismail.

Tentera hampir merapatkan jurang gol pada minit ke-70, apabila pemain mereka, S. Ragu melepaskan rembatan dari jarak 30 meter, tetapi berjaya ditangkap penjaga gol tuan rumah, Shamsul Sabtu.

Usaha keras Tentera bagaimanapun membuahkan hasil, apabila mereka berjaya menemui gol tunggal pada minit ke-88 menerusi Saifullah Hashim.

Perlis yang tumpas kepada Melaka, Isnin lalu, bangkit mendadak apabila menewaskan satu lagi wakil negeri Hang Tuah, Telekom Melaka 4-1 di Stadium Kubu, Melaka.

Gemilang Perlis itu diukir oleh ketua pasukannya, Yusri Che Lah dengan jaringan hatrik selain satu gol sumbangan V. Yogeswaran.

Yogeswaran menghadiahkan jaringan pertama perlawanan untuk Perlis seawal minit ketiga.

Tuan rumah bersemangat untuk mencari penyamaan sayangnya tendangan cantik Mohd. Hardi Jaafar pada minit ke-15 terkena palang gol.

Peluang kedua Telekom muncul empat minit kemudian namun disia-siakan oleh Norhisham Saleh ketika berdepan satu sama satu dengan penjaga gol Perlis, Rosman Hussin.

Dalam keghairahan tuan rumah itu, Perlis pula menambah gol kedua dengan jaringan Yusri setelah menerima hantaran Fuad Mat Nor, minit ke-23.

Bagaimanapun, Telekom menerusi asakan menggila, beroleh gol tunggalnya sumbangan V. Sellathurai pada minit ke-56.

Namun kegembiraan penyokong Telekom tidak kekal lama apabila pelawat menambah gol ketiga minit ke-66 hasil tendangan pantas Yusri.

Yusri melengkapkan hatrik pada minit ke-82 apabila tendangannya berjaya melepasi jangkauan penjaga gol lawan, Abdul Wahab.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru, Kelantan menang melalui sepakan penalti 3-2 setelah seri 1-1 dengan Johor dalam masa permainan sebenar.

Gol tuan rumah diperoleh menerusi Tan Cheng Hoe pada minit ke-34 manakala Hashim Mustapha menyumbat gol penyamaan pada minit ke-56 untuk Johor.

Cheng Hoe, Yusrisham Yusoff dan Yew Choh Hooi menyudahkan penentuan penalti untuk Kelantan dan lawan membalas dengan Liew Kim Tu dan Hashim sekali lagi.

NS Chempaka meraih kemenangan sulung pada perlawanan Perdana Dua, apabila menang besar 5-0 ke atas TNB Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, semalam.

Pasukan tuan rumah mendahului 3-0 pada separuh akhir mata pertama, menerusi Chia Ah Bee di minit ke-11, Mohd. Khaidir Md. Dom (21) dan Yusarman Yusof (35).

Mohd. Khaidir menjadikan kedudukan 4-0 pada minit 63, sebelum Roslan Zakaria menambah sengsara pasukan pelawat apabila menyumbat gol sendiri pada minit ke-78

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4ROKh4DwQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 27 November 2016

Liga Perdana Dua: Selangor terselamat

ARKIB : 24/03/1999
BEKAS juara Piala Malaysia, Selangor terselamat daripada diaibkan oleh TNB Kelantan apabila meraih kemenangan 5-4 menerusi tendangan penalti pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Sultan Mohamaed ke-IV, Kota Bharu, semalam.

Kedua-dua pasukan sekadar mampu menghasilkan keputusan seri 1-1 dalam 90 minit permainan sehingga memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Begitupun, pasukan tuan rumah TNB Kelantan dikejutkan menerusi jaringan pendahuluan pada minit ke-36 oleh S. Sivaram dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama permainan.

Strategi mengasak pantas yang digunakan oleh TNB Kelantan bagaimanapun membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan selepas seminit babak kedua bermula.

Jaringan penyamaan Tuan Ismail Tuan Ibrahim di minit ke-46 cukup melegakan skuad tuan rumah yang terus memperkuhkan jentera pertahanan.

Kedudukan seri 1-1 itu kekal sehingga tamat permainan dan penentuan menerusi penalti akhirnya menjadi milik Selangor yang lima kali membolosi gawang TNB Kelantan, berbanding pasukan tuan rumah itu dengan hanya empat gol.

Gol penalti Selangor dijaringkan oleh Shamsul Amri Abu Bakar, K. Sanbagamaran, Zainal Abidin Hassan, Assroff Mohd. Hanafiah dan Kamarulzaman Majid.

Manakala empat gol TNB Kelantan pula disumbat masuk oleh Ruzlan Ismail, Saidi Mamat, Ahmad Faisal Othman dan Hamdi Ibrahim.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4RCEgky2X © Utusan Melayu (M) Bhd