Khamis, 4 Ogos 2016 | 1:59pm
Oleh Faizul Azlan Razak
bhsukan@bh.com.my
PEMAIN Selangor, Mauro Andres
Olivi (kanan) dihalang penjaga gol T-Team, Wan Muhammad Azrie (tengah) pada
perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi. -
Foto Aswadi Alias
KUALA TERENGGANU: Ketua
jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan menyifatkan ketumpulan jentera
serangan membawa malang buat pasukannya yang tumpas 1-0 di tangan T-Team dalam
aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Pengendali berusia 54 tahun itu
berkata, pasukannya memiliki banyak peluang menjaringkan gol dalam perlawanan
itu, namun kegagalan jentera serangan membuatkan Red Giants berputih mata.
"Kita sudah berusaha untuk
merubah kedudukan, tapi malang buat pasukan saya apabila gagal menyaingi
pasukan T-Team dalam perlawanan malam ini (malam tadi).
"Kita mempunyai banyak
peluang dalam perlawanan ini, namun jentera serangan gagal menyempurnakan
dengan jaringan gol," katanya ditemui selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, penyerang
import kelahiran Mali, Makan Konate muncul wira apabila jaringan tunggalnya
pada minit ke-36 membantu T-Team meraih tiga mata berharga.
Mengulas lanjut, bekas
penyerang kebangsaan itu berkata ketiadaan beberapa tonggak yang mengalami
kecederaan juga membawa kepincangan kepada pasukannya.
Katanya, ketiadaan penyerang
kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri dan pemain import Indonesia, Andik Vermansyah
begitu dirasai apabila memberi kesan di bahagian serangan.
"Kita akan baiki kelemahan
dalam pasukan dan bangkit dalam perlawanan seterusnya bertemu Kedah, Sabtu
ini," katanya.
Sekalipun tewas, Selangor kekal
di tangga ketiga dengan mengutip 26 mata daripada 16 perlawanan dan bertandang
ke Stadium Darul Aman berdepan Helang Merah, Sabtu ini.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis,
4 Ogos 2016 | 1:59pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan