Isnin, 25 September 2017

Piala AFC: Biarpun kalah, Zainal tetap puas hati prestasi pemainnya



Khamis, 17 September 2015 | 12:32pm
 
PEMAIN Pahang, Damian Delano Stewart (kanan) diasak penjaga gol Istiklol FC, Stosic Nikola dalam perlawanan suku akhir kedua Piala AFC di Stadium Darul Makmur. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan berpuas hati dan memuji semangat juang pemainnya yang bangkit mencipta kemenangan 3-1 di laman sendiri pada aksi suku akhir kedua Piala AFC 2015, malam tadi.

Begitupun, kemenangan pada aksi timbal balik di Stadium Darul Makmur, Kuantan tidak cukup membawa naib juara Liga Super 2015 itu melangkah ke peringkat seterusnya selepas kalah dengan agregat 5-3.

Pada aksi pertama di Tajikistan, 26 Ogos lalu, Pahang yang terpaksa beraksi di atas padang tiruan selain tanpa khidmat beberapa pemain utama termasuk Dickson Nwakaeme, tewas 4-0.

"Persembahan yang baik, saya memberikan pujian kepada mereka," kata Zainal yang mengakui sukar untuk mengatasi bekalan selesa dimiliki Istiklol. "Kami bermain dengan baik, mengikuti arahan dan mendominasi perlawanan.

"Pelan taktikal kami berjalan dengan baik bersama Dickson. Kami mengarahkan pemain kami untuk bekerja keras dan memberikan lebih usaha, namun sudah pasti ada tahapnya dan saya tidak boleh meminta lebih daripada itu."

Pada perlawanan itu, Pahag bermula agresif untuk mendapatkan gol pendahuluan dengan cubaan menerusi Azamuddin Akil dan Matias Conti namun gagal untuk menewaskan penjaga gol lawan, Stosic Nikola.

Gol yang dinantikan Pahang muncul menerusi tandukan pemain tengah, Mohd Hafiz Kamal yang tidak mensia-siakan menerima hantaran R Surendran pada minit ke-30.

Begitupun, tuan rumah kemudian dikejutkan seminit sebelum berakhir separuh masa pertama apabila pemain pertahanan Mohd Saiful Nizam Miswan dilayangkan kad merah kerana mengasari Fathuloev.

Ketiadaan Saiful pada babak kedua diakui Zainal merencatkan perancangannya.

"Saya berpuas hati dengan keputusan kerana kami bekerja keras. Kami mempunyai pelan taktikal pada kedua-dua babak permainan namun kad merah kepada Saiful membuatkannya gagal digunakan pada babak kedua.

"Prestasi kami di Piala AFC baik dan melakar sejarah ke suku akhir Piala AFC," katanya bekas penyerang kebangsaan itu.

Beraksi 10 pemain pada babak kedua, Pahang begitupun berjaya menambah gol kedua pada minit ke-57 menerusi Mohd Hafiz sebelum pemain tengah Istiklol, Makhmudov Khurshed merapatkan jurang gol 2-1 tiga minit kemudian.

Gol terakhir Pahang kemudian diledakkan pemain gantian D Saarvindran pada minit-minit akhir permainan.
BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 17 September 2015 | 12:32pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan