Ahad, 12 Oktober 2014 | 6:55pm
PENYOKONG Pahang bersorak
gembira selepas Pahang mara ke separuh akhir dengan mencatat kemenangan agregat
3-2 ke atas PDRM. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Piala Malaysia: Zainal optimis
peluang Pahang tanpa 2 tonggak
SHAH ALAM: Ketua jurulatih
Pahang, Zainal Abidin Hassan akur barisan bimbingannya berdepan halangan sukar
menentang Kedah dalam separuh akhir pertama pada 19 Oktober ini tanpa dua
tonggak yang digantung perlawanan.
Dua pemain berkenaan -
penyerang, Dickson Nwakaeme dan pemain pertahanan, Damian Delano Stewart tidak
akan bersama skuad Tok Gajah untuk mengharungi perlawanan di Alor Setar.
"Saya akui kita berdepan
tugas berat berdepan Kedah (pada separuh akhir pertama) tanpa ketiadaan dua
pemain ini, namun saya yakin pemain dapat melakukan sesuatu," katanya.
Pahang mara ke separuh akhir
selepas menang agregat 3-2 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala Kedah
mengejutkan naib juara 2013, Kelantan menerusi kemenangan agregat 4-3 dalam
satu lagi saingan suku akhir.
Apa pun, Nwakaeme dan Stewart
dijangka kembali memperkuatkan skuad Tok Gajah pada aksi separuh akhir kedua di
Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 24 Oktober ini.
Zainal menambah: "Sebelum
ini, kita menerima pelbagai dugaan termasuk penjaga gol kita, Mohd Nasril
Nourdin dilayangkan kad merah ketika PDRM di Kuantan tempoh hari...Mohd Khairul
Azhan Mohd Khalid yang masih tidak berapa sihat terpaksa saya masukkan juga
bagi gantikan tempat Mohd Nasril."
Ketua jurulatih itu turut
memuji semangat juang dipamerkan barisan pemain yang tidak berputus asa walaupun
beraksi 10 pemain selepas Damian diperintah keluar padang oleh pengadil, Mohd
Nafeez Abd Wahab kerana mengutip kad kuning kedua.
"Alhamdulillah, mereka
menjalankan tugas dengan baik walaupun separuh masa pertama, corak permainan
kita agak terumbang ambing. Saya turut puji (pemain gantian), Mohd Fauzi Rozlan
yang berjaya menjaringkan gol kemenangan pada babak terakhir perlawanan,"
kata Zainal Abidin.
Sementara itu, penolong
jurulatih PDRM, Azman Adnan berbangga dengan aksi yang dipamerkan pemain skuad
'The Cops' walaupun mereka gagal meneruskan kemaraan pada saingan Piala
Malaysia, musim ini.
"Saya sendiri akur bahawa
kekurangan pengalaman menjadi punca kekalahan kita pada perlawanan ini...walau
pun kita tewas, saya bangga dengan aksi yang dipamerkan pemain," kata
bekas pemain kebangsaan era 90-an itu. - BERNAMA
BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 12
Oktober 2014 | 6:55pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan