ARKIB : 05/07/2008
Zainal Abidin Hassan mengakui
'sesak nafas' dengan prestasi tidak menentu yang ditunjukkan anak buahnya
sebelum ini namun agak lega berikutan kemenangan tiga mata penuh hasil kerja
keras mereka kelmarin.
KUANTAN - Masih ada peluang
buat Pahang untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas menang tipis
ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Stadium Darul Makmur kelmarin,
lapor SHAMSIAH ZULKAFLI.
Namun tegas jurulatihnya,
Zainal Abidin Hassan, untuk melayakkan diri merebut piala berprestij itu, skuad
kendaliannya tidak boleh lagi mengalami kekalahan dalam perlawanan-perlawanan
berikutnya.
Mengakui 'sesak nafas' dengan
prestasi tidak menentu yang ditunjukkan skuad Tok Gajah dalam saingan merebut
piala tersebut sebelum ini, Zainal Abidin kini boleh menarik nafas lega
berikutan kemenangan tiga mata penuh hasil kerja keras anak-anak buahnya.
''Perlawanan kelmarin adalah
penentu hidup dan mati, namun kesungguhan pemain akhirnya berbalas melalui tiga
mata berharga yang memang dicari.
''Dengan kemenangan itu, impian
Pahang untuk layak ke suku akhir masih terbuka," katanya ketika ditemui
sejurus perlawanan baru-baru ini.
Mengulas mengenai perlawanan
tersebut, beliau berkata, pemain-pemainnya bermain dengan agak baik pada
separuh masa pertama terutamanya di posisi tengah dan pertahanan.
Bagaimanapun katanya, masalah
yang sama iaitu jentera serangan seolah-olah hilang taring kerana dua gol
kemenangan Pahang disumbat pemain-pemain bahagian pertahanan iaitu Keita
Boubacar dan Nor Fazly Alias.
''Kita dapat banyak peluang,
namun gagal disempurnakan, jika terlepas satu atau dua peluang tidak mengapa,
tapi tiga hingga empat peluang adalah sesuatu yang tak sepatutnya
berlaku," katanya.
Mengenai gol tunggal ATM pada
minit ke-84 oleh Mohd. Nazri Akui, faktor jadual perlawanan yang terlalu padat
menyebabkan pemainnya letih kerana tidak mendapat rehat yang cukup selain perlu
bermain di tempat lawan, ujarnya.
Ditanya apakah beliau merancang
untuk mengubah semula posisi di bahagian serangan, Zainal Abidin berkata,
beliau akan mengkaji semula kedudukan kesebelasan pemain utama Pahang.
Bagaimanapun katanya, dua
pemain yang terpaksa direhatkan kerana kecederaan sebelum ini iaitu Rosdi Talib
dan Redouane Barkaoui mungkin akan diturunkan bagi menentang Johor Pasir Gudang
di Stadium Darul Makmur, esok.
''Tapi kita akan lihat sejauh
mana keadaan mereka, jika sembuh seratus peratus, kehadiran mereka boleh
memperkuat barisan pemain Pahang," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zdVnyTEo
© Utusan Melayu (M) Bhd