Isnin, 18 September 2017

Selangor perlu bangkit di Singapura



 
Kuala Lumpur: Selangor tidak akan mengambil mudah aksi terakhir peringkat Kumpulan E Piala AFC menentang Tampines Rovers di Stadium Nasional Singapura pada 10 Mei ini.

Ketua jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan berkata walaupun skuad Gergasi Merah hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke peringkat kalah mati, pasukan itu tetap perlu berwaspada dengan saingan sengit dari kelab seberang Tambak Johor itu.

Selangor yang terikat 0-0 dengan wakil kelab dari Filipina, Ceres La Salle FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini, sekurang-kurangnya memerlukan seri dalam aksi terakhir peringkat kumpulan itu.

Kemenangan 3-2 pasukan tercorot kumpulan, Lt Sheikh Jamal Dhanmondi Club ke atas Tampines Rovers turut membuka peluang kepada Selangor.

Ceres La Salle FC mengesahkan slotnya ke peringkat kalah mati selepas meraih mata kesembilan selepas seri dengan Selangor, manakala Gergasi Merah kini menghuni tempat kedua dengan lapan mata, diikutii Tampines Rovers dengan tujuh mata selepas lima perlawanan.

Dalam pada itu, Zainal yang terkilan dengan keputusan seri itu mahu jentera serangannya bekerja keras untuk menghasilkan jaringan pada aksi akan datang.

"Saya memang tak nafikan apabila Patrick Ronaldinho (dibawa) keluar selepas kecederaan, memang ada sedikit kecacatan dalam jentera serangan. Namun pemain tetap mencipta peluang tetapi gagal menyempurnakannya.

"Saya juga kena puji pemain pertahanan kerana tak bolos. Mereka terus mengawal benteng dengan baik, tetapi tanpa gol kita tak dapat menang perlawanan. Mereka harus tahu betapa pentingnya untuk dapatkan gol," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Beliau turut mengesahkan Patrick hanya mengalami kecederaan ringan dan mampu beraksi semula dalam masa tiga atau empat hari lagi.BERNAMA

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 12:11 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan