Khamis, 21 September 2017

FAS boleh selesai isu tunggakan Zainal: Amirudin



Selasa, 17 Januari 2017 | 7:46pm
Oleh Syafiq Aznan
 
BEKAS pengurus The Red Giants, Amirudin Shari ditemuramah wartawan pada Majlis Pelancaran Jersi dan Bas PKNS FC di Shah Alam, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

SHAH ALAM: Konflik membabitkan isu tunggakan gaji dan pampasan baki kontrak bekas jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan seharusnya mampu diselesaikan secara dalaman di peringkat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) terlebih dulu.

Bekas pengurus The Red Giants, Amirudin Shari menegaskan ini susulan badan induk bola sepak negeri itu sebenarnya sudah memiliki peruntukan hasil jualan beberapa pemainnya pada musim ini, sekali gus tidak lagi berdepan masalah untuk melunaskan tuntutan itu.

Bagaimanapun, Amirudin menyatakan FAS boleh berjumpa dengan kerajaan negeri andai tidak memiliki kewangan mencukupi dan tidak menolak pihaknya bersedia untuk menghulurkan bantuan.

"Bagi saya, kami konsisten bahawa mereka mampu untuk menyelesaikan masalah ini tetapi kalau kantung mereka tidak cukup duit, mereka boleh saja berjumpa kerajaan negeri untuk memohon bantuan.

"Namun berdasarkan persiapan tahun ini, pasukan ini dilihat boleh membeli pemain baharu dan mendapatkan pemain import, jadi itu bermakna mereka sebenarnya memiliki kewangan yang mencukupi.

"Saranan beberapa pemimpin lain mengenai isu ini sungguh tepat kerana mereka sepatutnya menyelesaikan hutang terlebih dulu sebelum boleh berfikir mengenai perkara yang lain," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jersi dan Bas PKNS FC di sini, hari ini.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Zainal yang membisu sejak Ogos lalu selepas pemecatannya, akhirnya bersuara dengan menuntut kepemimpinan lama FAS yang diterajui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya melunaskan tunggakan 13 bulan gajinya sehingga November 2017.

Zainal juga 'digantung tidak bertali' kerana sehingga kini tidak mengetahui status sebenarnya bersama pasukan itu apabila masih belum menerima surat pemecatan rasmi daripada FAS.

Mengulas lanjut mengenai surat pemecatan secara rasmi yang sepatutnya diterima Zainal, Amirudin sekadar menyalahkan Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd Ibrahim yang disifatkan tidak cekap dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

"Kontrak dan hal membabitkan surat menyurat ditandatangani oleh setiausaha, jadi isu ini menunjukkan ketidakcekapan seorang setiausaha melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.

"Mengenai masalah bonus yang dijanjikan kepada pemain pula, saya akan cuba berbincang dengan Menteri Besar tetapi untuk pembayaran gaji yang tertunggak, mereka perlu meminta majikan mereka iaitu FAS untuk membayarnya," katanya
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 17 Januari 2017 | 7:46pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan