Kuala Lumpur: Selangor tidak
akan mengambil mudah aksi terakhir peringkat Kumpulan E Piala AFC menentang
Tampines Rovers di Stadium Nasional Singapura pada 10 Mei ini.
Ketua jurulatihnya, Zainal
Abidin Hassan berkata walaupun skuad Gergasi Merah hanya memerlukan keputusan
seri untuk layak ke peringkat kalah mati, pasukan itu tetap perlu berwaspada
dengan saingan sengit dari kelab seberang Tambak Johor itu.
Selangor yang terikat 0-0
dengan wakil kelab dari Filipina, Ceres La Salle FC di Stadium Majlis Perbandaran
Selayang malam ini, sekurang-kurangnya memerlukan seri dalam aksi terakhir
peringkat kumpulan itu.
Kemenangan 3-2 pasukan tercorot
kumpulan, Lt Sheikh Jamal Dhanmondi Club ke atas Tampines Rovers turut membuka
peluang kepada Selangor.
Ceres La Salle FC mengesahkan
slotnya ke peringkat kalah mati selepas meraih mata kesembilan selepas seri
dengan Selangor, manakala Gergasi Merah kini menghuni tempat kedua dengan lapan
mata, diikutii Tampines Rovers dengan tujuh mata selepas lima perlawanan.
Dalam pada itu, Zainal yang
terkilan dengan keputusan seri itu mahu jentera serangannya bekerja keras untuk
menghasilkan jaringan pada aksi akan datang.
"Saya memang tak nafikan
apabila Patrick Ronaldinho (dibawa) keluar selepas kecederaan, memang ada
sedikit kecacatan dalam jentera serangan. Namun pemain tetap mencipta peluang
tetapi gagal menyempurnakannya.
"Saya juga kena puji
pemain pertahanan kerana tak bolos. Mereka terus mengawal benteng dengan baik,
tetapi tanpa gol kita tak dapat menang perlawanan. Mereka harus tahu betapa
pentingnya untuk dapatkan gol," katanya pada sidang media selepas
perlawanan itu.
Beliau turut mengesahkan
Patrick hanya mengalami kecederaan ringan dan mampu beraksi semula dalam masa
tiga atau empat hari lagi.BERNAMA
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Rabu, 27 April 2016 @ 12:11 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan