Isnin, 25 September 2017

Piala Malaysia: Zainal optimis peluang Pahang tanpa 2 tonggak



Ahad, 12 Oktober 2014 | 6:55pm
 
PENYOKONG Pahang bersorak gembira selepas Pahang mara ke separuh akhir dengan mencatat kemenangan agregat 3-2 ke atas PDRM. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Piala Malaysia: Zainal optimis peluang Pahang tanpa 2 tonggak

SHAH ALAM: Ketua jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan akur barisan bimbingannya berdepan halangan sukar menentang Kedah dalam separuh akhir pertama pada 19 Oktober ini tanpa dua tonggak yang digantung perlawanan.

Dua pemain berkenaan - penyerang, Dickson Nwakaeme dan pemain pertahanan, Damian Delano Stewart tidak akan bersama skuad Tok Gajah untuk mengharungi perlawanan di Alor Setar.

"Saya akui kita berdepan tugas berat berdepan Kedah (pada separuh akhir pertama) tanpa ketiadaan dua pemain ini, namun saya yakin pemain dapat melakukan sesuatu," katanya.

Pahang mara ke separuh akhir selepas menang agregat 3-2 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala Kedah mengejutkan naib juara 2013, Kelantan menerusi kemenangan agregat 4-3 dalam satu lagi saingan suku akhir.

Apa pun, Nwakaeme dan Stewart dijangka kembali memperkuatkan skuad Tok Gajah pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 24 Oktober ini.

Zainal menambah: "Sebelum ini, kita menerima pelbagai dugaan termasuk penjaga gol kita, Mohd Nasril Nourdin dilayangkan kad merah ketika PDRM di Kuantan tempoh hari...Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid yang masih tidak berapa sihat terpaksa saya masukkan juga bagi gantikan tempat Mohd Nasril."

Ketua jurulatih itu turut memuji semangat juang dipamerkan barisan pemain yang tidak berputus asa walaupun beraksi 10 pemain selepas Damian diperintah keluar padang oleh pengadil, Mohd Nafeez Abd Wahab kerana mengutip kad kuning kedua.

"Alhamdulillah, mereka menjalankan tugas dengan baik walaupun separuh masa pertama, corak permainan kita agak terumbang ambing. Saya turut puji (pemain gantian), Mohd Fauzi Rozlan yang berjaya menjaringkan gol kemenangan pada babak terakhir perlawanan," kata Zainal Abidin.

Sementara itu, penolong jurulatih PDRM, Azman Adnan berbangga dengan aksi yang dipamerkan pemain skuad 'The Cops' walaupun mereka gagal meneruskan kemaraan pada saingan Piala Malaysia, musim ini.

"Saya sendiri akur bahawa kekurangan pengalaman menjadi punca kekalahan kita pada perlawanan ini...walau pun kita tewas, saya bangga dengan aksi yang dipamerkan pemain," kata bekas pemain kebangsaan era 90-an itu. - BERNAMA
BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 12 Oktober 2014 | 6:55pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan