Khamis, 11 April 2019

Zainal mahu anak buah benam Tampines Rovers


Selasa, 8 March 2016 | 11:59am
 
Zainal mahu anak buah benam Tampines Rovers
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my

KETUA Jurulatih pasukan Selangor, Zainal Abidin Hassan (kanan) dan Kapten pasukan Selangor, Muhammad Shahrom Abd Kalam pada sidang media Piala AFC 2016 di KIP Hotel. - Foto Osman Adnan NSTP
KUALA LUMPUR: Pertemuan dengan kelab Singapura, Tampines Rovers di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini bakal menjadi medan terbaik buat Selangor menebus kekecewaan selepas tersingkir dari saingan Piala FA.

Kemenangan ke atas Tampines Rovers wajib diraih skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan bagi membuka peluang lebih luas dalam usaha mereka untuk melepasi peringkat Kumpulan E saingan Piala AFC musim ini.

Justeru, Zainal mengingatkan barisan pemainnya melupakan segera kekecewaan di Piala FA selepas tewas 1-2 kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jumaat lalu.

Sambil mengakui kelebihan di gelanggang sendiri harus di manfaatkan, Zainal turut menjelaskan betapa pasukannya sangat memerlukan tiga mata selepas terikat 2-2 pada perlawanan pertama berdepan Ceres FC dari Filipina, pada 23 Februari lalu.

"Kami sangat serius dengan perlawanan ini terutama selepas sekadar seri dengan Ceres. Kami perlu menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

"Pemain yang cedera sebelum ini termasuk Andik (Vermansyah) juga sudah sedia untuk diturunkan. Hanya Robert Cornthwaite saja tidak bersama pasukan.

"Paling penting, kami perlu lupakan kekalahan di Piala FA. Situasi kami sekarang adalah terpaksa berdepan dengan jadual padat, tetapi ia tidak menjejaskan misi di Piala AFC," katanya.

Mengulas lanjut berkenaan pasukan lawan, Zainal mengakui sudah meneliti beberapa kekuatan dan kelemahan yang dimiliki Tampines Rovers.

"Memang kita sangat mengenali Tampines Rovers dan skuad itu dibarisi beberapa pemain Lions XII. Apapun kami tidak boleh pandang mudah perlawanan ini," katanya.

Kapten Selangor, Shahrom Kalam pula berkata kekalahan kepada PDRM memberi pengajaran berguna kepada skuad The Red Giants dan berjanji akan memperbaiki segala kelemahan.

"Moral semua pemain masih pada tahap terbaik. Malah kekalahan kepada PDRM di awal musim membolehkan kami belajar sesuatu dan kami masih mempunyai masa untuk perbaiki kelemahan," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 8 March 2016 | 11:59am

Tiada ulasan:

Catat Ulasan