SUKAN»Bola
Isnin, 22 April 2019 | 6:16pm
ZAINAL Abidin Hassan
Semua pemain berdisiplin - Zainal
Oleh Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
MELAKA: Jurulatih Melaka United
(MU), Zainal Abidin Hassan lega barisan pemainnya sudah kembali mendapat
sentuhan penyudah yang diharapkan selepas mencipta kemenangan 1-0 ke atas Kedah
di Stadium Hang Jebat, di sini, semalam.
Katanya, displin tinggi yang
mereka pamerkan jelas memberi impak besar terhadap keputusan perlawanan Liga
Super itu walaupun dicabar hebat pasukan pelawat sepanjang aksi sengit di laman
sendiri itu.
MU memastikan tiga mata dalam
genggaman menerusi jaringan tunggal penyerang kelahiran Brazil, Anselmo
Casagrande pada minit ke-49.
“Apa yang pasti semua pemain
berdisiplin, terutama barisan pertahanan yang tidak lagi mudah dibolosi. Malah
mereka bijak memintas lawan yang cuba memasuki kawasan gol pasukan.
“Walaupun terdapat sedikit
kekurangan akibat memberi terlalu banyak sepakan percuma kepada skuad Helang
Merah, namun mereka tidak leka untuk fokus mempertahankan kubu pasukan,”
katanya mengulas kejayaan MU itu.
Zainal turut gembira Casagrande
kembali mendapat sentuhan penyudah di depan gawang dan berharap ia akan
meningkatkan motivasi pemain berkenaan pada aksi seterusnya.
Sementara itu, jurulatih Kedah,
Aidil Sharin Sahak berkata, kecederaan kapten pasukan kebangsaan, Mohd Zaquan
Abd Razak yang dikeluarkan pada awal babak pertama memberi kesan kepada
ketajaman jentera serangan.
Katanya, walaupun selepas itu
anak buahnya berusaha gigih mencari gol namun kekebalan jentera pertananan tuan
rumah menutup ruang menyebabkan usaha yang dilakukan tidak berhasil.
“Apapun saya yakin anak buah akan
kembali menyerlah berdepan Kuala Lumpur selepas ini,” katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin,
22 April 2019 | 6:16pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan