Isnin, 22 April 2019

Zainal lega Melaka kembali kutip tiga mata


MyMetroArena
 
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my

JURULATIH Melaka United (MU), Zainal Abidin lega pemainnya berjaya mengembalikan sentuhan cemerlang pada awal musim selepas menewaskan Kedah 1-0 hasil jaringan Anselmo Casagrande di Stadium Hang Jebat, semalam.

Menurutnya, displin tinggi pemain jelas memberi impak terhadap keputusan perlawanan walaupun dicabar hebat pelawat yang berusaha untuk mencipta kemenangan ke atas skuad Hang Tuah.

“Apa yang pasti semua pemain begitu berdisiplin, terutama barisan pertahanan yang tidak lagi mudah dibolosi. Malah mereka bijak memintas lawan yang cuba memasuki kotak bahaya pasukan.

“Walaupun terdapat sedikit kekurangan akibat memberi terlalu banyak sepakan percuma kepada Helang Merah, namun mereka tidak leka untuk fokus mempertahankan kubu pasukan,” katanya.

Beliau turut memuji pemainnya yang agresif menutup ruang dan dalam masa sama mengambil kesempatan menjaringkan gol.

Zainal mengakui skuadnya beraksi penuh tekanan namun berbekalkan kekuatan mental, MU berjaya menampilkan kesungguhan dan komitmen tinggi untuk menambah tiga mata berharga.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, kecederaan kapten kebangsaan Mohd Zaquan Abd Razak yang dikeluarkan pada awal babak pertama memberi kesan kepada ketajaman jentera serangan.

Beliau berkata, walaupun anak buahnya berusaha gigih mencari gol namun kekebalan jentera pertananan tuan rumah menutup ruang menyebabkan usaha yang dilakukan tidak berhasil.

Aidil Sharin berkata, aksi tidak konsisten memberi kesan terhadap keputusan yang tidak memihak mereka, namun yakin anak buahnya kembali menyerlah berdepan Kuala Lumpur selepas ini.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 1:14 PMSUMBER

Tiada ulasan:

Catat Ulasan