Rabu, 17 April 2019

Zainal Abidin kapten ampuh


ARKIB : 17/11/2012
Oleh FERZALFIE FAUZI

ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
ZAINAL Abidin kini seronok dengan karier barunya sebagai pemilik kedai makan Lagenda 17 yang bertempat di Seksyen 13 Shah Alam.

SEBUT sahaja Zainal Abidin Hassan pasti peminat bola sepak tanah air tidak akan melupakan perwatakannya sebagai pertahanan mantap dan sinonim dengan nombor jersi 17 yang digunakannya baik bersama pasukan kebangsaan, Selangor mahupun Pahang.

No. 17 memberi makna istimewa buat insan ini, kerana dia membuat penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan pada usia 17 tahun dalam Pestabola Merdeka 1980.

Namun, daya kepimpinan Zainal Abidin ketika membawa Malaysia mara ke final Piala Tiger 1996 detik paling dikenang peminat bola sepak tanah air.

Elok rasanya kita mengimbau mengenai kekentalan kapten ampuh ini, tatkala Piala Tiger, kini dikenali sebagai Piala Suzuki AFF akan bermula Ahad depan.

Zainal Abidin yang ketika itu mewakili pasukan Pahang dalam saingan Liga Malaysia kembali menjulang nama Harimau Malaya selepas aksi kurang memberangsangkan di Sukan SEA 1993 Singapura dan 1995 Chiang Mai.

Pengalaman selaku pemain senior digunakan sebaiknya oleh Zainal Abidin yang mula mencipta nama sejak era 80-an dan awal 90-an bersama pasukan negeri kelahirannya.

Sebagai seorang pemain senior dalam skuad 1996, dia dihormati kerana pernah beraksi dengan legenda bola sepak tanah air seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Mendiang R. Arumugam dan Soh Chin Aun.

Selain Zainal Abidin antara pemain senior lain yang berada dalam skuad tersebut ialah Khairul Azman Mohamad (penjaga gol) dan Dollah Salleh, manakala tugas jurulatih dipikul Wan Jamak Wan Hassan.

Tahap kemahiran dan pengalaman yang dimilikiZainal Abidin membolehkan skuad kebangsaan muncul naib juara peringkat kumpulan di belakang Thailand. Edisi pertama Piala Tiger itu menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Singapura, Brunei dan Filipina.

Perlawanan pertama menyaksikan Malaysia menentang Singapura, yang berkesudahan kita mengikat tuan rumah 1-1 di hadapan 7,000 penyokong di Stadium Nasional, Kallang.

Aksi kedua memperlihatkan ketajaman jentera serangan Malaysia yang membelasah Filipina 7-0, namun paling mencuri tumpuan ialah perlawanan ketiga di antara Malaysia dan Thailand yang pada awalnya lagi dijangka sengit.

Selaku ketua pasukan Zainal Abidin menunjukkan kredibiliti dengan berjaya menghalang Thailand daripada mencatat kemenangan, malah dia berjaya menafikan jaringan pendahuluan Kiatisuk Senamuang pada minit ke-28 dengan menjaringkan gol penyamaan di minit ke-59.

"Zainal adalah tonggak yang amat penting, dia pemain paling senior dan beraksi di posisi pertahanan tengah. Saya rasa jika tidak ada dia ketika itu memang kita sukar untuk menyekat asakan menggila lawan terutamanya Thailand," kata Khairul Azman, mengimbau detik 16 tahun lalu.

Malaysia seterusnya menempah tempat ke separuh akhir kejohanan apabila melengkapkan jadual peringkat kumpulan dengan mencatat kemenangan kedua membelasah Brunei 6-0.

"Dia sentiasa bagi semangat kepada pemain lain terutama pemain muda dan mereka sangat menghormatinya serta mendengar segala arahan yang diberikan, akhirnya kami mampu mara ke peringkat separuh akhir dan akhir kejohanan tersebut," jelas bekas penjaga gol Pahang dan Sabah itu.

Bertemu musuh tradisi, Indonesia dalam saingan separuh akhir adalah cabaran berat buat Malaysia namun berkat kerjasama yang dipamerkan oleh pemain muda bersama pemain senior mereka mencatat kemenangan 3-1.

"Ada beberapa tonggak utama dalam skuad kebangsaan ketika itu, salah seorang daripadanya adalah Zainal Abidin. Persefahaman antara pemain tonggak dan pemain lain ketika itu sangat bagus sekali.

"Kami sudah bersama sepanjang lima tahun, jadi semua orang tahu peranan masing-masing. Pemain tengah tahu jenis hantaran mana yang penyerang mahukan, begitu juga di posisi lain," kata Anuar Abu Bakar yang beraksi di posisi serangan pada ketika itu.

Bagaimanapun bertemu Thailand di peringkat akhir nasib skuad Harimau Malaya kurang baik apabila tewas tipis 1-0 juga melalui jaringan Kiatisuk seawal minit kesembilan. namun mara ke peringkat tersebut boleh dianggap satu pencapaian membanggakan.

Zainal Abidin akan terus diingati sebagai seorang ketua pasukan dan tonggak yang berjaya membawa Malaysia ke peringkat akhir.

Lebih menarik kehandalan dan prestasi luar biasa yang dipamerkan Zainal Abidin, membolehkannya menerima anugerah sebagai pemain paling bernilai dalam kejohanan tersebut. Tiga tahun selepas itu namanya berada dalam senarai Kelab Seabad Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Selain pasukan bola sepak kebangsaan, Zainal Abidin juga pernah menabur bakti bersama pasukan futsal negara dan mengambil bahagian di Kejohanan Futsal Dunia FIFA 1996 Sepanyol.

Dia bersara dalam sukan bola sepak pada 1999 dan dipilih untuk menjadi jurulatih skuad remaja pada 2001.Setahun selepas itu dia menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan dan membantu jurulatih kelahiran England, Allan Harris .

Dia kemudiannya melatih pasukan Pahang dan berjaya menjulang trofi Liga Super pertama.Pada 2006 dia menjulang Pahang untuk memenangi Piala FA dan selepas kontraknya tamat dia bergabung dengan rakan baiknya, Dollah untuk mengemudi Shahzan Muda FC sebelum kedua-dua mereka kembali ke Pahang dan tugasnya sebagai pengurus pasukan sehingga sekarang.

Perkara lain yang menarik tentang Zainal Abidin ialah anak lelakinya Zaiza Zainal Abidin turut bermain bola sepak di posisi pertahanan dan sekarang mewakili Pahang.

Kini, dia turut mencuba nasib dengan membuka restoran yang diberi nama Legenda 17 di Shah Alam. Sememangnya Zainal Abidin dan No. 17 terlalu sinonim hingga tidak boleh dipisahkan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana_Sukan/20121117/rs_01/Zainal-Abidin-kapten-ampuh#ixzz3KdLUohxm© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan