MyMetroArena
Nazri Abu Bakar
arena@metro.com.my
MELAKA: Keputusan seri 1-1 Melaka
United (MU) berdepan Pahang di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, malam
tadi dianggap berbaloi buat jurulatihnya Zainal Abidin Hassan, selepas skuad
itu ketinggalan 0-1.
Zainal berkata, melepaskan gol
mudah seawal minit kelima jelas bukan halangan mereka bangkit membentuk gerakan
dan keserasian jitu sehingga berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan
penalti Safiq Rahim.
Katanya, disiplin tinggi anak
buahnya berjaya menebus kehampaan terbabit sekali gus meraih satu mata berharga
di laman sendiri.
Beliau berkata, pemain juga
berjaya menunjukkan peningkatan efektif pada perlawanan ketiga terbabit walaupun
turut diasak hebat lawan.
"Apa yang lebih penting
pemain beraksi habis-habisan dan berhempas-pulas untuk tidak menghampakan
penyokong di halaman sendiri.
"Ketika di dalam bilik
persalinan, saya terus memberikan motivasi kepada pemain untuk melupakan gol
pendahuluan pelawat, selain memberikan kata semangat buat mereka memburu
jaringan. Apa yang membanggakan mereka merealisasikan perencanaan
terbabit," katanya.
Baginya, melihat cara permainan
pasukan seharusnya skuad Hang Tuah tidak kehilangan sebarang mata dalam aksi
terbabit termasuk setiap percubaan berjaya diselamatkan pertahanan Tok Gajah.
Sementara itu, Zainal berkata,
keputusan pengadil memberi sepakan penalti kepada pasukan selepas Anselmo
Casagrande dijatuhkan pertahanan lawan adalah tepat.
ZAINAL berpuas hati dengan
keputusan perlawanan. FOTO/NSTP
Dalam pada itu, pengendali
Pahang, Dollah Saleh pula enggan memberi komen sepakan penalti yang dihadiahkan
kepada tuan rumah namun dia tetap kecewa jaringan terbabit menyebabkan pasukan
itu hanya pulang dengan satu mata.
Katanya, pasukannya itu mampu
menjaringkan lebih gol awal menerusi peluang yang terhidang sekali gus
melebarkan jurang gol dengan skuad Hijau Putih.
Bagaimanapun, beliau mengakui
rezeki tidak memihak kepada anak buahnya selepas setiap percubaan berjaya
dihalang penjaga gol MU, Khairul Fahmi Che Mat serta benteng pasukan tuan rumah
yang menyaksikan beberapa hantaran bola tersasar.
Pahang yang bermain corak menarik
dengan gerakan cantik memiliki beberapa peluang menambah jaringan namun
percubaan Mohd Nor Azam Azih (m-49) hanya sekadar menggegar palang gol MU.
Peluang lain dimaksudkan Dollah
termasuk menerusi Dickson Nwakaeme pada minit ke-31 dan Harold Goulon (m-37)
dan Matthew Davies (m-41).
Skuad Hang Tuah turut berpeluang
menerobos gawang lawan sebelum sepakan penalti Safiq (m-89) menerusi Liridon
Krasniqi (m-14), Patrik Reichelt (m-44) dan Casagrande (m-48) namun kesemuanya
gagal membuahkan jaringan.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Ahad, 17 Februari 2019 @ 1:49 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan