Ahad, 7 April 2019

Perit Melaka tiada Suk-won, Mat Don [VIDEO]


MyMetroArena
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my

KETIADAAN dua tunjang import Melaka United (MU), Jang Suk-won dan Liridon Krasniqi amat dirasai ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan ketika mengulas kekalahan 3-4 kepada Selangor di Stadium Hang Jebat, semalam.

Menurutnya, situasi terbabit memperlihatkan kubu pasukan bocor empat kali selain gerakan permainan juga sedikit terjejas tanpa dua khidmat pemain terbabit.

Katanya, ketiadaan Suk-won yang digantung perlawanan dan Mat Don yang masih cedera menjejaskan pergerakan pasukan walaupun tidak dinafikan terdapat peningkatan dalam kalangan pemain tempatan.

Namun, dia yakin penyertaan semula dua pemain itu pada aksi berdepan PKNP selepas ini bakal kembali meletakkan wajah sebenar skuad Hang Tuah.

Sementara itu, bekas penyerang Selangor, Pahang dan skuad kebangsaan itu mengakui kecewa selepas anak buahnya berjaya mendahului The Red Giants 3-2 (m-71), namun harapan tiga mata musnah menerusi tandukan Sean Eugene Selvaraj (m-88 dan m-90) untuk tuan rumah berputih mata.

"Apapun saya tetap memuji komitmen semua pemain berikutan selepas ketinggalan akhirnya bangkit menyamakan kedudukan dan mendahului pelawat buat seketika.

"Namun fokus tersasar meletakkan lawan bijak mencuri peluang untuk mengutip mata maksimum walaupun kemenangan hampir menjadi milik pasukan," katanya.

Justeru, baginya banyak yang perlu diperbaiki terutama fokus jitu pada minit-minit akhir dan mental yang kuat untuk tidak hampa di penghujung saingan.

Malah, dia jelas tidak menyembunyikan kekecewaan tewas pertama kali di laman sendiri ketika kemenangan atau sekurang-kurang satu mata bakal diperolehi.

Gol-gol MU pada aksi terbabit dicetak menerusi Patrick Reichelt m-20, m-65 dan Darko Markovic m-71 perlawanan.
 

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 7:33 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan