KAPTEN Pahang, Razman Roslan
memegang Piala Malaysia sewaktu majlis perarakan Piala Malaysia di pekarangan
Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam.
04 November 2014 1:46 AM
KUANTAN – Presiden Persatuan
Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah
mengesahkan jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan dan ketua pasukan, Mohd.
Razman Roslan akan kekal bersama Tok Gajah pada musim depan.
Tengku Abdul Rahman berkata,
beliau juga percaya sebahagian besar pemain Pahang yang menjadi tonggak utama
ketika memenangi Piala Malaysia 2014 akan kekal bersama Tok Gajah.
“Zainal Abidin dan Mohd. Razman
akan bersama Pahang kerana saya tak pernah dengar apa-apa cakap daripada mereka
mengenai perpindahan ke pasukan lain.
“Saya juga akan berbincang dengan
pegawai-pegawai PBNP mengenai status pemain termasuk meneliti semula kontrak
mereka yang mungkin akan tamat tahun ini,” katanya pada sidang akhbar, di sini
semalam.
Tambah beliau, menjadi hasratnya
untuk mengekalkan pasukan yang ada, namun jika para pemain sudah mendapat
peluang yang lebih baik di luar itu terpulang kepada mereka.
Mengulas mengenai masa depan
penyerang import, Dickson Nwakaeme, beliau memberitahu, pemain itu melahirkan
hasrat untuk bermain di Eropah dan memaklumkan akan menjalani ujian bersama
sebuah kelab di Perancis.
“Andai gagal di sana, dia boleh
kembali kepada Pahang pada tahun hadapan kerana kita sentiasa terbuka
menerimanya untuk bermain di dalam skuad Tok Gajah,” ujarnya.
Mengenai pemain baharu yang akan
dibawa ke dalam skuad Tok Gajah, Tengku Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan
bahawa Pahang perlu membeli beberapa permain yang berkualiti sebagai persiapan
pada tahun hadapan terutama untuk beraksi dalam kancah Piala AFC.
“Jika saya diberi peluang, saya
akan pilih pemain Kedah, Badrol Bakhtiar untuk bermain dengan Pahang tetapi
mestilah dibuat melalui saluran yang betul kerana saya tak mahu ambil pemain
yang masih terikat dengan kontrak,” jelasnya.
Sementara itu mengenai perlawanan
final Piala Malaysia Sabtu lalu, beliau melahirkan rasa bangga kepada semua
pemain yang menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi dan tidak berputus asa
untuk tampil dengan aksi yang cemerlang meskipun bermain dengan 10 orang pemain
selain ketinggalan satu gol.
“Taktikal memang terpaksa diubah
sebab kita kehilangan pemain pertahanan, Saiful Nizam Miswan. Saya akui ketika
itu memang ada rasa tidak selesa.
“Bagaimanapun, saya percaya semua
pemain mempunyai semangat untuk menang dan itu yang dilakukan dalam perlawanan
tempoh hari. Saya akui Pahang memang ‘King of Come Back’,” katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/zainal-razman-kekal-bersama-tok-gajah-musim-2015-1.20459#ixzz5jxfjp0EX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan