ARKIB : 10/05/1998
REBUT... Penyerang Selangor, Rusdi Suparman (depan) diasak oleh pemain Olimpik 2000, Johnny Joseph sewaktu perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Shah Alam, malam tadi. Selangor menang 3-3.
MERAH kuning nyaris berubah menjadi merah padam apabila hampir menerima kejutan namun bangkit dalam perlawanan dramatik untuk mengikat Olimpik 2000 dengan keputusan seri 3-3 dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Ketinggalan 0-2 pada satu ketika, Selangor bangkit mendadak dalam tempoh lapan minit untuk mencipta tiga gol menerusi Zainal Abidin Hassan (m-64), Shahril Arsat (m-70) dan Azman Adnan (m-72).
Namun penguasaan sepenuhnya Selangor pada babak kedua dan mula mengukir senyum untuk mengamit tiga mata penuh setelah mendahului 3-2, dileburkan oleh jaringan penyamaan pemain gantian Olimpik, Gilbert Cassedy lapan minit sebelum tamat perlawanan.
Gol pembukaan menjadi milik Olimpik apabila Faziallah Maman menyambar bola lantunan yang mengenai badan K. Gunalan yang membuat larian solo sebelum melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan Azlisham Ibrahim.
Selangor terus sengsara hanya 27 saat babak kedua bermula apabila Olimpik memperolehi gol kedua menerusi V. Saravanan.
Tengku Hazman Raja Hassan melorongkan tepat ke arah Saravanan yang berjaya melepasi Aizal Lamin sebelum melepaskan sepakan menewaskan Azlisham.
Zainal menyempurnakan keadaan kelam kabut di kawasan kotak penalti lawan untuk menanduk masuk gol pertama Selangor pada minit ke-64.
Shahril Arsat kemudian berjaya merembat masuk menjadikan kedudukan 2-2 hanya selepas enam minit jaringan Zainal.
Azman Adnan menambah lega Selangor apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas Jamsari menjatuhkan Mohd Rizal Hassan pada minit ke-72.
Bagaimanapun, Olimpik menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma yang cantik oleh pemain gantian Gilbert dari luar kotak penalti.
Sementara itu, Negeri Sembilan nyaris menerima aib besar apabila berjaya berkongsi satu mata dengan Brunei selepas seri 1-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Halim Jantan, Zami Mod. Nor dan Scott Ollerenshaw merupakan tiga penyerang yang mempersia-siakan peluang terbuka untuk mendahului lawan pada minit kelima, 23, dan 39 dan 45.
Namun begitu, Brunei lebih ligat mencari peluang untuk mendahului Negeri Sembilan pada minit ke-56.
Gol itu dijaringkan oleh penyerang import Patron Akapo hasil gerakan satu dua dengan Mohd. Said Abdullah yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Mohd. Hamsani Mohamad.
Bagaimanapun, jaringan Brunei itu tidak melemahkan semangat pasukan tuan rumah sebaliknya bertindak balas menyamakan kedudukan pada minit ke-61.
Gol itu berpunca daripada hantaran Guss Cerro yang membuat hantaran lintang ke dalam kawasan gol Brunei dengan mudah bagi pemain pertahanan Pedro Paolo Oliviera membuat tandukan kencang yang gagal diselamatkan oleh Ibrahim Abu Bakar.
Walaupun selepas gol itu, Negeri Sembilan mempertingkatkan lagi serangan bahaya namun semua percubaan itu tidak menepati sasaran.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JNTwnzD4 © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan