Khamis, 21 September 2017

Zainal tampil tuntut hak dengan Selangor



Rabu, 4 Januari 2017 | 9:45pm
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
 
ZAINAL menunjukkan keratan hebahan media penamatan kontraknya sebagai jurulatih pada sidang media berhubung isu tuntutan gaji baki kontrak di kediamannya di Shah Alam. - Foto Luqman Hakim Zubir

SHAH ALAM: Selepas hampir lima bulan dipecat dan berdiam diri, bekas pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan tampil menuntut haknya serta menggesa pampasan selama 13 bulan sehingga November 2017 dilunaskan segera oleh pengurusan 2016.

Tuntutan itu dibuat berdasarkan apa yang termaktub dalam kontraknya ketika menjadi jurulatih kerana sehingga kini, Zainal masih tidak mengetahui status sebenarnya bersama pasukan dan digantung tidak bertali.

Bekas jurulatih Pahang itu mendakwa, meskipun dipecat pada Ogos 2016, beliau masih belum menerima sebarang surat pemecatan rasmi Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sehingga kini.

Situasi ini menyebabkan Zainal tidak boleh berbuat apa-apa dan masalah itu juga boleh membunuh kariernya selaku jurulatih bola sepak profesional jika ia tidak diselesaikan secepat mungkin.

"Pengurusan lama sudah berjanji untuk menyelesaikan baki kontrak saya seperti yang dipersetujui, namun sehingga kini tiada kata putus mengenai perkara itu. Saya berpegang pada janji mereka dan kontrak yang saya tandatangani.

"Saya bukan mahu mempertahankan jawatan. Saya juga tidak mahu salahkan mana-mana pihak tetapi saya berurusan dengan pihak pengurusan yang lama kerana mereka yang bertanggungjawab melantik saya sebagai jurulatih pada 2016.

"Isu ini terlalu kecil berbanding kemelut FAS ketika ini, jadi saya mengharapkan masalah ini diselesaikan segera supaya saya boleh meneruskan kerjaya dalam bidang kejurulatihan," katanya pada sidang media di kediamannya di sini, hari ini.

Bekas pemain The Red Giants era 90-an itu dipecat selepas deretan kekalahan menimpa skuad kendaliannya sehingga kehilangan status selaku pendahulu Liga Super, selain tersingkir awal dalam saingan Piala FA dan sekadar menamatkan saingan di peringkat kumpulan Piala AFC.

Mengulas pemecatannya yang hanya dibuat berdasarkan sistem pesanan ringkas (SMS) dan kenyataan media, Zainal menyifatkan tindakan terbabit sebagai tidak profesional dan ibarat 'lepas tangan'.

"Saya hanya dimaklumkan menerusi SMS yang ditunjukkan penolong pengurus (Hisham Ghouth) dan saya cuba memohon untuk berjumpa pengurusan bagi menjelaskan situasi sebenar punca kemerosotan pasukan.

"Pengurusan berhak memecat saya, namun mereka juga seharusnya mendengar rayuan dan penjelasan saya. Sebaliknya mereka tetap dengan pendirian untuk memecat, jadi saya perlu menerima keputusan dengan profesional.

"Saya berhubung dengan pemangku Setiausaha ketika itu (Raja Restam Azhar) untuk mendapatkan surat pemecatan tetapi dia menyatakan tidak menerima arahan untuk mengeluarkan surat pemecatan kerana dia hanyalah pemangku setiausaha saja.

"Saya perlukan surat pemecatan secara rasmi untuk memutuskan segala ikatan dengan FAS dan membolehkan saya mengambil langkah seterusnya dalam karier saya," katanya
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 4 Januari 2017 | 9:45pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan