Isnin, 11 Disember 2017

Veteran Malaysia menang 6-1

ARKIB : 26/10/2008
 
ZAINAL Abidin Hassan (kiri) mengetuai pasukan veteran Malaysia menentang veteran UiTM dalam perlawanan persahabatan di Stadium UiTM, Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM - Pasukan veteran bekas pemain kebangsaan menumpaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 6-1 dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium UiTM di sini, semalam.

Pasukan veteran Malaysia yang diketuai Zainal Abidin Hassan mendahului 2-1 dalam babak pertama sebelum menyumbat empat gol pada baki perlawanan.

Gol-gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Azlan Johar, Mubin Mokhtar manakala Shahrin Majid dan Zainal masing-masing dengan dua jaringan.

Pasukan tuan rumah pula mendapat gol tunggal pada minit ke-20 hasil rembatan kencang penyerang utamanya, Wan Mustafa Wan Ismail.

Antara bekas pemain kebangsaan yang beraksi ialah K. Gunalan, Zapril Hashim, Kamarul Zaman Yunoff, Amir Hakim Haron, Reman Regunathan, Talib Sulaiman, Malek Rahman, Mohamad Shahriman dan Mubin Mokhtar
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz511bBKyCU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 6 Disember 2017

Dollah, Zainal terajui Shahzan Muda


 

ARKIB : 03/10/2008
KUALA LUMPUR – Bekas penyerang kembar negara, Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh bakal bergandingan semula seperti zaman kegemilangan mereka pada era 80-an dan awal 90-an tetapi kali ini sebagai pengurus pasukan dan jurulatih kelab Liga Perdana, Shahzan Muda, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Mereka yang turut pernah mewakili Selangor dalam karier sebagai pemain, dijangka sama-sama menerajui kelab Pahang itu bagi menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia yang menyingkap tirainya pada Januari tahun depan.

Zainal yang sebelum ini pernah melatih dan membawa Pahang memenangi Liga Super 2004 dan Piala FA 2006 sebelum beralih kepada pengurus musim 2007-2008, mengesahkan haluan barunya itu pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Subang Jaya, Selangor, semalam.

“Menerajui sebuah pasukan bersama-sama Dollah memang menjadi idaman saya sejak sekian lama setelah kami beberapa tahun bergandingan sebagai penyerang Selangor dan skuad kebangsaan,” katanya di mana anaknya, Zaiza Zainal bakal meneruskan khidmat selaku bek tengah Gergasi Merah bagi semusim lagi.

Teka-teki pasukan kendalian Dollah selepas khidmatnya tidak disambung oleh Selangor musim depan, terjawab dengan kenyataan Zainal itu walaupun sebelum ini rakan karibnya itu menyatakan mahu berehat terlebih dulu sepanjang bulan puasa lalu dan dikhabarkan mendapat tawaran Johor-Pasir Gudang.

Bagaimanapun kata Zainal: “Pada dasarnya saya bersetuju tetapi satu pengumuman rasmi akan dibuat oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, tidak lama lagi.”

Shahzan Muda sebelum ini dibimbing oleh Tajuddin Nor, dengan menduduki tempat ke-10 daripada persaingan 13 pasukan Liga Perdana dan terkandas pada pusingan pertama Piala FA kepada Kuala Lumpur secara agregat 4-0 sepanjang musim 2007-08 selain gagal ke Piala Malaysia.

Pencapaian Selangor di bawah Dollah pula sepanjang musim lalu menyaksikan skuad Merah Kuning di tangga keempat Liga Super, naib juara Piala FA dan Piala Malaysia sementara Zainal menguruskan Pahang yang menduduki tempat kelapan liga, separuh akhir Piala FA dan gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Malaysia.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50TgnewVu

© Utusan Melayu (M) Bhd