Jumaat, 17 November 2017

Saravanan bukan digugur



ARKIB : 18/02/2008
Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI

KUANTAN – Pemain bola sepak Pahang, V. Saravanan bukan digugurkan daripada skuad Tok Gajah itu, sebaliknya beliau sendiri yang meminta pelepasan untuk keluar dari skuad tersebut.

Pengesahan itu diberikan jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan yang menolak dakwaan Saravanan ditamatkan kontrak bersama pasukan Pahang.

Zainal menjelaskan, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) juga bersetuju melepaskan penyerang Tok Gajah itu sekiranya mencapai persetujuan dengan mana-mana pasukan yang ingin menggunakan khidmat Saravanan.

‘‘Sehingga ke hari ini, kontrak Saravanan masih dengan PBNP dan permohonannya untuk keluar daripada pasukan ini juga sudah diluluskan, hanya menanti untuk capai persetujuan dengan mana-mana pihak yang berminat dengannya,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Zainal berkata, keputusan Saravanan untuk keluar dari PBNP juga berlangsung dalam suasana baik tanpa sebarang kemelut.

‘‘Sampai ke saat ini, dia masih lagi berlatih dengan skuad Pahang kerana masih lagi terikat dengan kontrak PBNP,” katanya.

Mengulas mengenai aksi anak buahnya setelah menewaskan Johor FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, kelmarin, Zainal berkata, Pahang memang memerlukan kemenangan itu setelah kecundang berturut-turut dalam perlawanan sebelum ini.

Menurut beliau, tiga mata penuh yang diperoleh Pahang boleh meningkatkan imej pasukan itu selain menaikkan semangat para pemainnya untuk mengharungi beberapa perlawanan lain selepas ini.

‘‘Sudah lama kita tak dapat mata penuh, jadi kemenangan ini memang sangat bermakna,” ujarnya.

Jaringan Pahang disumbangkan Keita Boubacar (m-11) dan Azizul Kamaludin (m-29) manakala gol tunggal Johor FC dijaringkan Mohd. Syaiful Sabtu (m-72).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4yhDuUVeY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 28 Oktober 2017

Aksi Pahang terus longlai



Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
sukan@kosmo.com.my 
PAHANG sekali lagi gagal mengutip tiga mata penuh walaupun sebelum ini pernah menjanjikan kemenangan apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Keputusan seri 1-1 yang terpaksa dikongsi bersama Sarawak pada perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin masih belum cukup buat Pahang membuktikan keupayaan sebenar selain dilihat terus dibelenggu masalah kecuaian.

Menurut jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan kegagalan mengutip mata pada perlawanan tersebut dilihat banyak berpunca daripada kecuaian pemain terutama di barisan serangan.

"Kita sudah buat segala-galanya, namun saya kecewa kerana masih ada pemain yang masih lena.

"Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana seolah-olah kita sengaja membuka peluang kepada Sarawak untuk menjaringkan gol.

"Saya juga dapati penjaga gol, Syamsuri Mustapa juga hilang fokus pada perlawanan itu," katanya.

Zainal yang jelas kecewa dengan keputusan perlawanan itu tidak menyembunyikan perasaan tidak puas hatinya terhadap prestasi pemainnya setakat ini walaupun peluang untuk memulihkan kedudukan dalam liga masih terbuka.

"Sebagaimana yang diketahui, Sarawak kini semakin menonjol walaupun sebelum ini pernah menduduki tangga ketiga tercorot dalam Liga, seharusnya kita merasa malu kerana Pahang merupakan satu pasukan yang gah tetapi gagal mengutip mata penuh," katanya.

Dalam pada itu, Zainal masih menaruh harapan agar jentera serangan Tok Gajah bangkit serta tampil dengan semangat baru bagi meneruskan saingan dalam liga yang akan memasuki pusingan kedua pada 12 Februari ini.

"Saya percaya kita masih ada masa untuk memulihkan semangat pasukan dan apa yang berlaku pada pusingan pertama ini perlu dijadikan pengajaran," katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_13.htm#ixzz4wnyumId9
Hakcipta terpelihara

Zainal rangka strategi baru



Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
sukan@kosmo.com.my
KECEDERAAN yang menimpa Keita (kanan) sedikit menjejaskan percaturan Zainal untuk membentuk skuad terbaik.

JURULATIH Pahang, Zainal Abidin Hassan kini giat mencari strategi baru menjelang saingan Liga Super selepas ini.
Advertisement

Semuanya gara-gara kecederaan yang dialami dua pemain utamanya ketika skuad Tok Gajah itu tewas 0-1 kepada Perak kelmarin.

Menurut Zainal, kecederaan serius yang dialami Shahril Faizal Ahmad Sharifudin dan Keita Boubacar pada aksi liga di Stadium Darul Makmur kelmarin memaksa dia mencari jalan untuk melakukan perubahan dalam kesebelasan utama.

"Berdasarkan kecederaan yang dialami dua pemain terbabit, saya percaya satu perubahan besar di semua posisi akan dibuat sebagai strategi baru menjelang perlawanan seterusnya," jelas Zainal kepada KOSMO! semalam.

"Keadaan ini lebih membimbangkan kerana seorang lagi pemain import Pahang, Redouane Barkaoui yang turut mengalami kecederaan dalam perlawanan terdahulu masih belum pulih. Bagi saya, ini satu ujian buat pasukan Tok Gajah."

Mengulas mengenai kekalahan yang dialami anak buahnya kelmarin, Zainal mengakui pasukannya banyak hilang tumpuan walaupun peluang menggegarkan gawang lawan sudah tersedia di depan mata.

"Pada babak pertama sahaja, kami sudah banyak kehilangan peluang untuk menjaringkan gol. Jika semua pemain mampu memberi tumpuan penuh, tidak mustahil kemenangan berpihak kepada kami," ujarnya.

Begitupun, Zainal tetap yakin anak didiknya mampu bangkit semula walaupun terdapat sedikit kepincangan dalam pasukan setelah tiga pemain utamanya terpaksa direhatkan gara-gara kecederaan serius.

"Secara positifnya, saya yakin kami mampu bangkit semula, cuma sedikit anjakan perubahan perlu dilakukan dalam pasukan berikutan ketiadaan tiga pemain terbabit," tambahnya.

Pahang akan berkunjung ke Stadium majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBBP) menentang UPB-My Team Sabtu ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4wnadEFkl
Hakcipta terpelihara

Jumaat, 27 Oktober 2017

Zainal kecewa dengan Pahang



ARKIB : 28/01/2008

KUANTAN – Mengecewakan. Itulah luahan jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan terhadap persembahan tidak konsisten anak buahnya selepas terikat 2-2 dengan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin lapor SHAMSIAH ZULKAFLI.

Dalam perlawanan tersebut, skuad Tok Gajah mendahului 2-0 pada satu ketika, namun atas kelekaan mereka, pasukan lawan kembali menyamakan kedudukan, sekaligus menyebabkan mereka kehilangan tiga mata berharga di gelanggang sendiri.

Zainal yang ditemui sejurus perlawanan berkata, dia kecewa dengan aksi skuad kendaliannya yang gagal mempamerkan persembahan konsisten sehingga tamat perlawanan.

‘‘Dalam separuh masa pertama, permainan agak hambar tanpa banyak serangan, namun pemain saya bangkit pada separuh masa kedua dengan dua gol.

‘‘Sayangnya, corak permainan yang ditunjukkan tidak konsisten menyebabkan kita akhirnya terpaksa berkongsi mata dengan lawan,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, gol Pahang dijaringkan Redouane Barkaoui melalui tendangan penalti pada minit ke-58, diikuti jaringan kedua pada minit ke-64 oleh Christiano Lopez Figuerredo.

Bagaimanapun Negeri Sembilan bangkit menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi Efendi Abd. Malek pada minit ke-68 dan Mohd. Rahman Zabul pada minit ke-78.

Zainal yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, walaupun gagal mengekalkan rentak permainan, dia menyifatkan prestasi skuad kendaliannya agak baik berbanding beberapa perlawanan sebelum ini.

‘‘Kita juga dapat lebih kurang 10 peluang yang baik, namun ia gagal disempurnakan,” katanya.

Sambil menyifatkan skuadnya kehilangan prinsip, Zainal berkata, dua gol yang dibolosi lawan juga adalah gol mudah yang sepatutnya boleh dielakkan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4wiUM0COX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 20 Oktober 2017

Zainal ‘geram’ aksi lembik anak buah



ARKIB : 03/01/2008

KUANTAN - Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan menyalahkan anak-anak buahnya sebagai punca utama kekalahan pasukan Tok Gajah 1-2 kepada Terengganu dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini, kelmarin.

Beliau yang nyata kecewa dengan persembahan hambar anak buahnya berkata, pasukan lawan berjaya membolosi pertahanan tuan rumah dengan mudah sekali gus memperoleh dua gol tanpa tentangan hebat.

Beliau turut mempersoalkan sepakan penalti yang diperoleh oleh Terengganu pada minit ke-58.

Menurut Zainal, meskipun anak-anak buahnya berusaha menyamakan kedudukan, namun ia agak terlambat apabila hanya berjaya mencuri satu gol pada minit ke-87 oleh K. Rajan.

“Dalam perlawanan ini, apabila Terengganu menjaringkan gol pembukaan, pasukan kita menjadi kelam kabut. Mereka berusaha untuk mendapatkan gol tetapi sudah terlambat,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Tegas Zainal, anak-anak buahnya tidak menggunakan segala peluang yang ada sebaik mungkin.

“Kita hanya mendapat dua atau tiga peluang sahaja tetapi tidak digunakan dengan baik,” jelasnya.

Menurut Zainal lagi, Pahang masih belum mempamerkan aksi terbaik dalam lima perlawanan yang diharungi, namun beliau berharap kehadiran Tariq Al-Janaby dan Reduane Barkaoui dari Maghribi dapat mengubah pasukan itu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4w4FcfkTI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 18 Oktober 2017

Komunikasi lemah punca Pahang tewas



ARKIB : 23/11/2007

KUANTAN – Ketua jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan menyifatkan kecuaian dan kurangnya komunikasi antara pemain merupakan punca utama kekalahan tipis 1-2 kepada Kedah pada perlawanan kedua Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini, kelmarin.

Beliau yang nyata kesal dengan keputusan itu berkata, skuad bimbingannya tidak patut kalah dalam perlawanan itu memandangkan Pahang lebih banyak dibarisi pemain berpengalaman berbanding Kedah yang ramai pemain muda.

‘‘Saya kecewa dengan keputusan ini. Kalah di tempat sendiri, pemain-pemain saya telah lakukan kesilapan yang tak sepatutnya,” katanya.

Pada perlawanan itu, jaringan pertama Kedah menerusi pemain import, Nelson Sam Martin tidak bertahan lama apabila Pahang menyamakan kedudukan menerusi pemain import dari Uganda, Abed Bironse pada minit ke-64.

Namun begitu, hasrat Pahang untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut hancur apabila Marlon Alex James menyumbat gol kedua pada minit ke-66 setelah berlaku salah faham antara penjaga gol, Mohd. Syamsuri Mustaffa dengan pemain pertahanan.

Dengan nada kecewa, beliau berkata, kurangnya komunikasi antara penjaga gol, Mohd. Syamsuri dengan pemain pertahanan menyebabkan gawang mereka bolos.

‘‘Kesilapan itu memang tak patut berlaku, lagi pun pasukan pelawat tidak melakukan serangan berbahaya,” ujar beliau.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vqVjDD00
© Utusan Melayu (M) Bhd