Sabtu, 16 September 2017

Wajib benam Ceres!



Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Jurulatih Selangor Zainal Abidin Hassan sedar peluang mereka untuk layak ke pusingan kalah mati Piala AFC pasti sukar jika gagal menundukkan Ceres La Salle dalam saingan Kumpulan E di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Biarpun masih mempunyai satu lagi perlawanan menentang Tampines Rovers bulan depan, namun pengendali itu tidak mahu mengambil sebarang risiko.

“Jika kami hilang tiga mata dalam perlawanan ini, ia lebih menyukarkan. Tiga mata ini amat penting untuk ke pusingan seterusnya serta perlawanan menentang Tampines,” kata Zainal kepada media semalam.

Skuad Red Giants kini menduduki tangga ketiga, terikat tujuh mata dengan Tampines Rovers di tangga kedua manakala wakil kelab Filipina Ceres hanya kelebihan satu mata di tangga teratas selepas empat perlawanan.

Selangor perlu menyalahkan diri sendiri kerana keciciran mata apabila membenarkan lawan bangkit mengikat kedudukan seri 2-2 pada pertemuan pertama Februari lalu di Bacolod City.

Dengan masalah kecederaan pemain seperti Razman Roslan, R Gopinathan dan pemain tengah Hafiz Kamal yang digantung perlawanan, Zainal berharap pemain lain mampu memberikan aksi terbaik termasuk Nazmi Faiz Mansor yang berjanji tidak akan mengulangi kesilapan ketika dibuang padang pada perlawanan Liga Super dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabtu lalu.

“Bukan hanya dia (Nazmi) tapi pemain lain juga pasti kecewa jika berdepan situasi itu. Nazmi sudah meminta maaf kepada saya dan rakan sepasukan serta berjanji akan bermain bersungguh-sungguh serta tidak mengulangi kesilapan itu lagi,” katanya.

Dalam pada itu ketua pasukan Shahrom Kalam percaya mereka tidak akan mensia-siakan peluang beraksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata.

“Ceres pasukan kuat, tapi kami mampu menyaingi mereka dan mendapatkan tiga mata. Bahagian serangan mereka bahaya jadi kami perlu bersedia. Jika pemain beri 100 peratus komitmen dan bertahan dengan baik insya-Allah kami boleh laksanakan misi ini,” kata tonggak pertahanan itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 8:52 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan