Isnin, 25 September 2017

Piala FA: Zainal kecewa sikap skuad Tok Gajah



Ahad, 22 March 2015 | 3:23pm


 

Gambar fail, jurulatih Pahang FA, Zainal Abidin Hassan pada sidang media Piala AFC, lalu. - Foto Farizul Hafiz Awang
Kongsi artikel

KUANTAN: Pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan kecewa dengan sikap sambil lewa yang ditunjukkan pemain sehingga hanya mampu menang tipis ketika menentang MISC-MIFA, malam tadi.

"Selepas mendahului 2-0 mereka (pemain Pahang) terus leka ... pemain perlu lebih bersedia dan fokus sepanjang perlawanan dan bukannya membenarkan lawan mengasak hingga hampir mengheret ke perlawanan masa tambahan," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan malam tadi, Pahang hanya mampu menang tipis 2-1 ke atas MISC-MIFA di Stadium Darul Makmur.

Beliau berharap pemain tidak mengulangi kesilapan sama apabila bertemu Pulau Pinang pada 7 April depan ketika pusingan suku akhir.

Zainal berkata, ini bagi memastikan misi pasukan itu untuk mempertahankan Piala FA tidak terkubur di tengah jalan.

Sementara itu, Pengendali MISC-MIFA Jacob Joseph berkata, prestasi ditunjukkan pemainnya tidak jauh berbeza dengan pemain Pahang.

Katanya, faktor pemain import memberi kelebihan kepada Pahang untuk melakar kemenangan bagi melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala FA.

"Saya sebenarnya berpuas hati apabila kami berjaya mengikat Pahang 0-0 pada separuh masa pertama tetapi kelalaian pemain pada awal babak kedua bersambung membolehkan Pahang menjaringkan gol," katanya.

Namun beliau tetap memuji semangat pemainnya yang berusaha dan berjaya menghasilkan jaringan pada minit akhir perlawanan.

Katanya beliau akan memberi tumpuan pada saingan Liga FAM untuk memastikan skuad bimbingannya muncul juara Kumpulan B, walaupun pihak pengurusan hanya menyasarkan tempat ketiga terbaik. - BERNAMA
BERITA HARIAN ONLINE  

Piala AFC: Biarpun kalah, Zainal tetap puas hati prestasi pemainnya



Khamis, 17 September 2015 | 12:32pm
 
PEMAIN Pahang, Damian Delano Stewart (kanan) diasak penjaga gol Istiklol FC, Stosic Nikola dalam perlawanan suku akhir kedua Piala AFC di Stadium Darul Makmur. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan berpuas hati dan memuji semangat juang pemainnya yang bangkit mencipta kemenangan 3-1 di laman sendiri pada aksi suku akhir kedua Piala AFC 2015, malam tadi.

Begitupun, kemenangan pada aksi timbal balik di Stadium Darul Makmur, Kuantan tidak cukup membawa naib juara Liga Super 2015 itu melangkah ke peringkat seterusnya selepas kalah dengan agregat 5-3.

Pada aksi pertama di Tajikistan, 26 Ogos lalu, Pahang yang terpaksa beraksi di atas padang tiruan selain tanpa khidmat beberapa pemain utama termasuk Dickson Nwakaeme, tewas 4-0.

"Persembahan yang baik, saya memberikan pujian kepada mereka," kata Zainal yang mengakui sukar untuk mengatasi bekalan selesa dimiliki Istiklol. "Kami bermain dengan baik, mengikuti arahan dan mendominasi perlawanan.

"Pelan taktikal kami berjalan dengan baik bersama Dickson. Kami mengarahkan pemain kami untuk bekerja keras dan memberikan lebih usaha, namun sudah pasti ada tahapnya dan saya tidak boleh meminta lebih daripada itu."

Pada perlawanan itu, Pahag bermula agresif untuk mendapatkan gol pendahuluan dengan cubaan menerusi Azamuddin Akil dan Matias Conti namun gagal untuk menewaskan penjaga gol lawan, Stosic Nikola.

Gol yang dinantikan Pahang muncul menerusi tandukan pemain tengah, Mohd Hafiz Kamal yang tidak mensia-siakan menerima hantaran R Surendran pada minit ke-30.

Begitupun, tuan rumah kemudian dikejutkan seminit sebelum berakhir separuh masa pertama apabila pemain pertahanan Mohd Saiful Nizam Miswan dilayangkan kad merah kerana mengasari Fathuloev.

Ketiadaan Saiful pada babak kedua diakui Zainal merencatkan perancangannya.

"Saya berpuas hati dengan keputusan kerana kami bekerja keras. Kami mempunyai pelan taktikal pada kedua-dua babak permainan namun kad merah kepada Saiful membuatkannya gagal digunakan pada babak kedua.

"Prestasi kami di Piala AFC baik dan melakar sejarah ke suku akhir Piala AFC," katanya bekas penyerang kebangsaan itu.

Beraksi 10 pemain pada babak kedua, Pahang begitupun berjaya menambah gol kedua pada minit ke-57 menerusi Mohd Hafiz sebelum pemain tengah Istiklol, Makhmudov Khurshed merapatkan jurang gol 2-1 tiga minit kemudian.

Gol terakhir Pahang kemudian diledakkan pemain gantian D Saarvindran pada minit-minit akhir permainan.
BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 17 September 2015 | 12:32pm

Piala Malaysia: Zainal optimis peluang Pahang tanpa 2 tonggak



Ahad, 12 Oktober 2014 | 6:55pm
 
PENYOKONG Pahang bersorak gembira selepas Pahang mara ke separuh akhir dengan mencatat kemenangan agregat 3-2 ke atas PDRM. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Piala Malaysia: Zainal optimis peluang Pahang tanpa 2 tonggak

SHAH ALAM: Ketua jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan akur barisan bimbingannya berdepan halangan sukar menentang Kedah dalam separuh akhir pertama pada 19 Oktober ini tanpa dua tonggak yang digantung perlawanan.

Dua pemain berkenaan - penyerang, Dickson Nwakaeme dan pemain pertahanan, Damian Delano Stewart tidak akan bersama skuad Tok Gajah untuk mengharungi perlawanan di Alor Setar.

"Saya akui kita berdepan tugas berat berdepan Kedah (pada separuh akhir pertama) tanpa ketiadaan dua pemain ini, namun saya yakin pemain dapat melakukan sesuatu," katanya.

Pahang mara ke separuh akhir selepas menang agregat 3-2 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala Kedah mengejutkan naib juara 2013, Kelantan menerusi kemenangan agregat 4-3 dalam satu lagi saingan suku akhir.

Apa pun, Nwakaeme dan Stewart dijangka kembali memperkuatkan skuad Tok Gajah pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 24 Oktober ini.

Zainal menambah: "Sebelum ini, kita menerima pelbagai dugaan termasuk penjaga gol kita, Mohd Nasril Nourdin dilayangkan kad merah ketika PDRM di Kuantan tempoh hari...Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid yang masih tidak berapa sihat terpaksa saya masukkan juga bagi gantikan tempat Mohd Nasril."

Ketua jurulatih itu turut memuji semangat juang dipamerkan barisan pemain yang tidak berputus asa walaupun beraksi 10 pemain selepas Damian diperintah keluar padang oleh pengadil, Mohd Nafeez Abd Wahab kerana mengutip kad kuning kedua.

"Alhamdulillah, mereka menjalankan tugas dengan baik walaupun separuh masa pertama, corak permainan kita agak terumbang ambing. Saya turut puji (pemain gantian), Mohd Fauzi Rozlan yang berjaya menjaringkan gol kemenangan pada babak terakhir perlawanan," kata Zainal Abidin.

Sementara itu, penolong jurulatih PDRM, Azman Adnan berbangga dengan aksi yang dipamerkan pemain skuad 'The Cops' walaupun mereka gagal meneruskan kemaraan pada saingan Piala Malaysia, musim ini.

"Saya sendiri akur bahawa kekurangan pengalaman menjadi punca kekalahan kita pada perlawanan ini...walau pun kita tewas, saya bangga dengan aksi yang dipamerkan pemain," kata bekas pemain kebangsaan era 90-an itu. - BERNAMA
BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 12 Oktober 2014 | 6:55pm

Khamis, 21 September 2017

Bukan rezeki Harimau Kumbang


BERNAMA
 
PELUANG Pulau Pinang untuk mengekalkan kedudukan dalam Liga Super musim depan dilihat tertutup apabila tewas 0-2 di laman sendiri ketika menentang T-Team di Stadium Negeri Batu Kawan, semalam.

Ketua jurulatih Pulau Pinang Zainal Abidin Hassan berkata, walaupun perlawanan itu disifatkan sebagai ‘hidup dan mati’, namun anak didiknya gagal menguasai aksi selain mempersiakan semua peluang menjaringkan gol.

“Ibarat pemain tidak membawa kasut untuk menjaringkan gol, amat mengecewakan sekali kerana perlawanan ini paling banyak sekali kita cipta peluang, tapi peluang terbuka pun kita sia-siakan.

“Kalau kualiti macam ini susah untuk bersaing dalam Liga Super,” katanya kepada wartawan selepas perlawanan itu.

Dalam perlawanan itu, T-Team menjaringkan gol menerusi Muhammad Fauzi Abdul Kadar pada minit ke-28 dan Mohd Asrol Ibrahim (m-58).

Bagaimanapun, Zainal Abidin berkata, skuad Harimau Kumbang akan terus berusaha dan apa yang penting ketika ini menjaga maruah pasukan itu.

“Kami akan terus berusaha dan ini saat saya nak lihat pemain mana yang mempunyai mental kuat untuk bermain dalam pasukan Pulau Pinang,” katanya.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 10:01 PM

PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA 1980

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
SINGAPURA 2-1 SELANGOR



Ketumpulan serangan bawa malang - Zainal



Khamis, 4 Ogos 2016 | 1:59pm
Oleh Faizul Azlan Razak
bhsukan@bh.com.my
 
PEMAIN Selangor, Mauro Andres Olivi (kanan) dihalang penjaga gol T-Team, Wan Muhammad Azrie (tengah) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan menyifatkan ketumpulan jentera serangan membawa malang buat pasukannya yang tumpas 1-0 di tangan T-Team dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Pengendali berusia 54 tahun itu berkata, pasukannya memiliki banyak peluang menjaringkan gol dalam perlawanan itu, namun kegagalan jentera serangan membuatkan Red Giants berputih mata.

"Kita sudah berusaha untuk merubah kedudukan, tapi malang buat pasukan saya apabila gagal menyaingi pasukan T-Team dalam perlawanan malam ini (malam tadi).

"Kita mempunyai banyak peluang dalam perlawanan ini, namun jentera serangan gagal menyempurnakan dengan jaringan gol," katanya ditemui selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, penyerang import kelahiran Mali, Makan Konate muncul wira apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-36 membantu T-Team meraih tiga mata berharga.

Mengulas lanjut, bekas penyerang kebangsaan itu berkata ketiadaan beberapa tonggak yang mengalami kecederaan juga membawa kepincangan kepada pasukannya.

Katanya, ketiadaan penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri dan pemain import Indonesia, Andik Vermansyah begitu dirasai apabila memberi kesan di bahagian serangan.

"Kita akan baiki kelemahan dalam pasukan dan bangkit dalam perlawanan seterusnya bertemu Kedah, Sabtu ini," katanya.

Sekalipun tewas, Selangor kekal di tangga ketiga dengan mengutip 26 mata daripada 16 perlawanan dan bertandang ke Stadium Darul Aman berdepan Helang Merah, Sabtu ini.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 4 Ogos 2016 | 1:59pm