Selasa, 21 Mac 2017

Bawah 17 AFF: Malaysia menang besar


ARKIB : 21/02/2002
MALAYSIA berpesta gol selepas menewaskan Brunei 6-0 dalam perlawanan kedua mereka pada Kejohanan Bola Sepak Bawah 17 tahun Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Stadium MPPJ, Kelana Jaya semalam.

Pasukan bimbingan bekas pemain bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan menguasai pertemuan itu dengan menjaringkan lima gol pada babak pertama dan satu gol pada babak kedua.

Malaysia menjaringkan gol pertama seawal minit ke-25 menerusi gerakan solo Mohd. Fazli Baharuddin yang melakukan sepakan di tengah padang untuk menewaskan penjaga gol Brunei, Abd Munir Aslin Murni.

Gol kedua pasukan negara menerusi Zulbadly Ismail yang melakukan tandukan lambung ke gawang gol lawan selepas memperoleh hantaran daripada Mohd. Ridzuan Othman pada minit ke-35.

Tujuh minit kemudian, barisan pemain Brunei dihukum sekali lagi apabila Zulbadly menjaringkan gol ketiga pasukan negara selepas merembat masuk bola selepas mendapat hantaran leret Mohd. Sakir Shaari daripada sebelah kanan padang.

Selepas gol itu, barisan pemain negara sekali lagi mengatur serangan dan pada minit ke-44, Mohd Fazli memanfaatkan kekeliruan di hadapan gawang gol lawan apabila percubaannya daripada luar kotak penalti menemui sasarannya.

Barisan pertahanan Brunei yang agak goyah telah menerima tamparan sekali lagi selepas pemainnya, Annuar Abd. Rahman melakukan jaringan sendiri pada minit ke-45 ketika cuba menyepak keluar percubaan pemain Malaysia, Mohd. Nurul Azwan daripada sebelah kiri gawang gol.

Pada separuh masa kedua, Brunei terpaksa bertahan di kubu sendiri selepas pasukan negara melakukan beberapa percubaan merbahaya.

Pada minit ke-53, Malaysia mendapat gol keenam mereka daripada Mohd. Ridzuan Othman selepas mendapat hantaran leret daripada Mohd. Shakir Shaari daripada kiri padang.

Sementara itu, pada satu lagi perlawanan peringkat kumpulan A semalam, Singapura dan Vietnam berkesudahan seri, 3-3.

Gol Singapura dijaringkan oleh Mohd. Yassin Alias (24, 74), Mohd. Nabil (30) sementara gol Vietnam disumbangkan oleh Phan Thanh Binh (41, 60) dan Ngu Yen Thanh Tung pada minit ke-45

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bwgaYUnD© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan