Khamis, 17 September 2015 |
12:32pm
PEMAIN Pahang, Damian Delano
Stewart (kanan) diasak penjaga gol Istiklol FC, Stosic Nikola dalam perlawanan
suku akhir kedua Piala AFC di Stadium Darul Makmur. - Foto Luqman Hakim Zubir
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih
Pahang, Zainal Abidin Hassan berpuas hati dan memuji semangat juang pemainnya
yang bangkit mencipta kemenangan 3-1 di laman sendiri pada aksi suku akhir
kedua Piala AFC 2015, malam tadi.
Begitupun, kemenangan pada aksi
timbal balik di Stadium Darul Makmur, Kuantan tidak cukup membawa naib juara
Liga Super 2015 itu melangkah ke peringkat seterusnya selepas kalah dengan
agregat 5-3.
Pada aksi pertama di
Tajikistan, 26 Ogos lalu, Pahang yang terpaksa beraksi di atas padang tiruan
selain tanpa khidmat beberapa pemain utama termasuk Dickson Nwakaeme, tewas
4-0.
"Persembahan yang baik,
saya memberikan pujian kepada mereka," kata Zainal yang mengakui sukar
untuk mengatasi bekalan selesa dimiliki Istiklol. "Kami bermain dengan
baik, mengikuti arahan dan mendominasi perlawanan.
"Pelan taktikal kami
berjalan dengan baik bersama Dickson. Kami mengarahkan pemain kami untuk
bekerja keras dan memberikan lebih usaha, namun sudah pasti ada tahapnya dan saya
tidak boleh meminta lebih daripada itu."
Pada perlawanan itu, Pahag
bermula agresif untuk mendapatkan gol pendahuluan dengan cubaan menerusi
Azamuddin Akil dan Matias Conti namun gagal untuk menewaskan penjaga gol lawan,
Stosic Nikola.
Gol yang dinantikan Pahang
muncul menerusi tandukan pemain tengah, Mohd Hafiz Kamal yang tidak
mensia-siakan menerima hantaran R Surendran pada minit ke-30.
Begitupun, tuan rumah kemudian
dikejutkan seminit sebelum berakhir separuh masa pertama apabila pemain
pertahanan Mohd Saiful Nizam Miswan dilayangkan kad merah kerana mengasari
Fathuloev.
Ketiadaan Saiful pada babak
kedua diakui Zainal merencatkan perancangannya.
"Saya berpuas hati dengan
keputusan kerana kami bekerja keras. Kami mempunyai pelan taktikal pada kedua-dua
babak permainan namun kad merah kepada Saiful membuatkannya gagal digunakan
pada babak kedua.
"Prestasi kami di Piala
AFC baik dan melakar sejarah ke suku akhir Piala AFC," katanya bekas
penyerang kebangsaan itu.
Beraksi 10 pemain pada babak
kedua, Pahang begitupun berjaya menambah gol kedua pada minit ke-57 menerusi
Mohd Hafiz sebelum pemain tengah Istiklol, Makhmudov Khurshed merapatkan jurang
gol 2-1 tiga minit kemudian.
Gol terakhir Pahang kemudian
diledakkan pemain gantian D Saarvindran pada minit-minit akhir permainan.
BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 17
September 2015 | 12:32pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan