Isnin, 11 Februari 2019

Tiga mata legakan Zainal


Oleh Nazri Abu Bakar
bhsukan@bh.com.my
MELAKA: Kejayaan meraih tiga mata dengan menewaskan PJ City dalam saingan Liga Super, semalam amat melegakan Ketua Jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan.

Walaupun sekadar menang tipis 2-1 ke atas lawan dalam aksi di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, namun keputusan itu dianggap permulaan yang cukup positif berikutan tekanan tinggi perlawanan sulung berkenaan.

"Kami bermain dengan agresif sepanjang babak pertama menerusi penguasaan permainan sekali gus mencipta banyak peluang jaringan walaupun hanya dua yang menepati sasaran.

"Namun rentak permainan sedikit perlahan pada babak kedua menyaksikan pelawat pantas mengubah corak mereka sehingga berjaya merapatkan jurang dalam tempoh berkenaan," katanya.

Zainal berkata, disebabkan satu kesilapan yang menyebabkan gawang pasukan bocor, ia melonjakkan semangat pelawat untuk terus mengasak.


Pemain Melaka United, Liridon Krasniqi meraikan gol pertama bersama Zainal Abidin Hassan (kanan) di Stadium Hang Jebat, Krubong. - NSTP/Khairunisah Lokman
Justeru, beliau akan terus berusaha memperbaiki kelemahan yang ada bagi memastikan corak permainan lebih baik bakal diterjemah skuad Hijau Putih pada aksi akan datang.

Dalam perlawanan berkenaan, MU menyenaraikan kelima-lima pemain import iaitu Patrick Reichelt, Darco Markovic, Liridon Krasniqi, Jang Suk Won dan Anselmo Casagrande.

Begitupun, mereka merehatkan pemain paling berpengaruh Shukor Adan di bangku simpanan dengan lilitan kapten diberikan kepada bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim yang dilihat berjaya menghidupkan permainan menerusi hantaran tepat dan percubaan berbahaya.

Bagi aksi berikutnya, MU dijadualkan berdepan PKNS FC, Sabtu ini di Shah Alam.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 3 Februari 2019 | 8:23pm