Khamis, 21 September 2017

Ibarat lupa bawa kasut: Zainal Abidin

Khamis, 21 September 2017 | 11:16am

KETUA Jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan menyifatkan perlawanan menentang T-Team malam tadi sebagai 'hidup dan mati' pasukan. - Foto DANIAL SAAD
Ibarat lupa bawa kasut: Zainal Abidin

BATU KAWAN: Peluang Pulau Pinang untuk mengekalkan kedudukan dalam Liga Super musim depan terus tertutup apabila tewas 0-2 di laman sendiri, ketika menentang T-Team di Stadium Negeri Batu Kawan, di sini, malam tadi.

Ketua Jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan berkata, walaupun perlawanan itu disifatkan sebagai 'hidup dan mati' pasukan, namun anak didiknya gagal menguasai perlawanan selain mempersiakan semua peluang untuk menjaringkan gol.

"Ibarat pemain tidak membawa kasut untuk menjaringkan gol...amat mengecewakan sekali kerana perlawanan inilah yang paling banyak sekali kita cipta peluang sehingga peluang terbuka pun kita sia-siakannya.

"Kalau kualiti macam ini susah untuk bersaing di Liga Super," katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Dalam perlawanan itu, T-Team menjaringkan gol menerusi Muhammad Fauzi Abdul Kadar pada minit ke-28 dan Mohd Asrol Ibrahim pada minit ke-58.

Bagaimanapun, Zainal Abidin berkata, skuad Harimau Kumbang akan terus berusaha dan apa yang penting ketika ini adalah menjaga maruah pasukan itu.

"Kami akan terus berusaha dan inilah saat saya nak lihat pemain mana yang mempunyai mental yang kuat untuk bermain dalam pasukan Pulau Pinang," katanya.

Ditanya jika pasukan itu tidak berjaya mengekalkan kedudukan dalam Liga Super pada musim depan, bekas pengendali Pahang itu, berkata pemain harus menerima keputusan dan tindakan yang akan diambil pihak pengurusan.

Pulau Pinang, yang kini tercorot liga dengan 12 mata, akan menentang Perak pada 30 September ini dan Selangor (21 Oktober) – Bernama
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 21 September 2017 | 11:16am

Tiada ulasan:

Catat Ulasan