Ahad, 11 Disember 2016

Selangor kutip tiga mata penuh

ARKIB : 26/10/1999
SELANGOR kembali membuka saingan dalam pusingan kedua bola sepak Piala Malaysia apabila membenam Perlis 3-1 di Stadium Shah Alam semalam, sekali gus menafikan hajat Singa Utara untuk kembali menerajui kumpulan A.

Dua gol dalam tempoh 11 minit permainan babak pertama menerusi pemain pertahanan, Lim Chan Yew minit keenam dan penyerang S. Paidiya Rau (11), menceritakan kesungguhan Merah Kuning untuk memperbaiki kedudukan dalam kumpulan.

Ketua pasukan, Zainal Abidin Hassan yang diletakkan jurulatih K. Rajagopal di barisan tengah kali ini, turut mencatat nama sebagai penjaring dengan sumbangan gol ketiga minit ke-40.

Perlis hanya bangkit mengasak pada babak kedua dan memperoleh gol menerusi sepakan bebas Manzoor Azwira Abdul Wahid minit ke-52.

Namun, Singa Utara harus kecewa apabila serangan yang dilancarkan berkali-kali sepanjang babak kedua gagal menambah jaringan.

Jaringan Chan Yew hasil serangan pertama Selangor menerusi sepakan sudut Jaafar Salleh yang ditanduk masuk bekas pemain Olimpik 2000 itu untuk gol pembukaan.

Lima minit kemudian, kombinasi barisan depan Rusdi Suparman dan Paidiya membuahkan hasil apabila penyerang kebangsaan itu menyungkit bola dari tepi garisan gol menuju tepat ke kepala Paidiya yang menanduk masuk gol kedua.

Rusdi turut memainkan peranan mencipta gol ketiga Selangor apabila umpanannya tepat ke kaki Zainal yang merembat kencang ke gawang menewaskan penjaga gol Perlis, Rosman Hussin.

Perlis cuba melawan tetapi Shamsurin Abdul Rahman dan rakannya di barisan depan gagal menembusi kubu kebal Selangor.

Cuma percubaan Rozmin Musa yang merembat liar di depan gawang Selangor pada minit ke-35 hampir memberikan gol buat Perlis.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4SXNdzSwQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan