Ahad, 19 Mac 2017

Tak mustahil Malaysia layak ke Piala Dunia

ARKIB : 05/12/2001
BEKAS pemain bola sepak kebangsaan yang kini membimbing pasukan remaja negara, Zainal Abidin Hassan berkata, tidak mustahil Malaysia boleh layak ke Piala Dunia satu ketika nanti jika memiliki jurulatih yang berwibawa di peringkat kebangsaan.

Katanya, impian itu agak mustahil ketika ini tetapi dalam jangka masa panjang, pasukan negara mampu meletakkan diri di peringkat tertinggi itu.

``Pasukan yang baik boleh dibentuk oleh jurulatih yang berwibawa tetapi ia perlu dimulakan dari peringkat bawah.

``Pemain remaja adalah sasaran utama dan golongan inilah yang sedang saya bentuk untuk cuba memenuhi impian itu,'' kata Zainal di Kuala Lumpur, semalam.

Bekas penyerang kebangsaan berusia 39 tahun itu ditemui selepas menerima sijil kejurulatihan daripada kedutaan Jerman di Kuala Lumpur, semalam.

Zainal lulus dengan cemerlang dalam kursus kejurulatihan di Jerman pada 3 hingga 28 September itu yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Selepas menamatkan kerjaya sebagai pemain, kali terakhir bersama Selangor pada 1999, Zainal menjadi penolong jurulatih Red Giants di bawah K. Rajagopal pada Januari 2000 sebelum dilantik oleh FAM sebagai ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun, yang muncul juara Piala Lion City di Singapura, Ogos lalu.

Hadir sama pada majlis itu ialah penasihat Akademi Bola Sepak Pahang, Holger Obermann. Sijil kejurulatihan disampaikan kepada Zainal oleh Duta Jerman ke Malaysia, Jurgen A.R. Staks.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bpfZ4xtN

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan