Khamis, 30 Mac 2017

Veteran Selangor tunjuk belang



ARKIB : 30/03/2003
Oleh Johari Shawal
BIAR pun sudah berusia, sentuhan pemain veteran Selangor masih berbisa apabila menewaskan veteran Singapura 1-0 dalam perlawanan persahabatan sempena Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam, semalam.

Dibarisi bekas-bekas pemain Selangor yang sebahagian besarnya turut merupakan bekas wira bola sepak kebangsaan, pasukan itu memperoleh gol tunggalnya menerusi Zainal Abidin Hassan seawal minit ke-2.

Jaringan Zainal berpunca daripada gerakan solonya dari tengah padang dengan mengelecek tiga pertahanan Singapura sebelum merembat rendah menewaskan penjaga gol pelawat, Patrick Wee Sing Hock.

Aksi kedua-dua pasukan jelas mencuit hati dan menghiburkan kira-kira 50,000 penonton.

Kebanyakan mereka datang khusus untuk meleraikan rindu untuk menyaksikan kelibat dan sentuhan pemain-pemain seperti Santokh Singh, Datuk Dell Akhbar, Datuk Soh Chin Aun, Datuk M. Chandran, Khalid Ali, Abdullah Ali dan Dollah Salleh.

Malah aksi Santokh, Chin Aun dan Dollah kerap menggamatkan stadium dan merancakkan permainan.

Melengkapkan kemeriahan barisan skuad veteran Selangor yang dibimbing Datuk Ghani Minhat adalah Redzuan Abdullah, Hanafiah Ali, K. Rajagopal dan Razali Alias.

Veteran Singapura yang dikendalikan Majid Arif tidak kurang hebatnya apabila turut menurunkan bekas wira-wira mereka termasuk Samad Ali Pitchay, Malek Awab, V. Sundramoorthy dan Suria Murthi.

Perlawanan turut disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo.

Perlawanan ini dilangsungkan sempena kemahkotaan Sultan Selangor.

Sementara itu, pasukan pilihan Selangor turut mencatat kemenangan 4-1 ke atas pilihan Singapura dalam perlawanan selepas itu untuk merebut Piala Sultan Selangor.

Gol Selangor dijaringkan Nizarudin Yusof (m2, 23), Juan Manual Arostegui (m57) dan Rudie Ramli (m90).

Manakala gol tunggal Singapura dijaringkan Dalis Supait pada minit ke-11

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cny2Orwl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan