ARKIB : 10/11/1999
SELANGOR yang sudah terkeluar
daripada saingan ke separuh akhir bola sepak Piala Malaysia, menyekat hajat
Pulau Pinang untuk terus bersaing dalam kumpulan A apabila membenam pasukan
pelawat 3-0 di Stadium Shah Alam, semalam.
Dua gol menerusi pemain tengah,
S. Sivaram pada minit ke-45 dan 50 serta jaringan ketua pasukan, Zainal Abidin
Hassan minit ke-65, menutup terus peluang Harimau Kumbang, sekali gus berjaya
menebus dendam kekalahan 5-0 Selangor di Stadium Bandaraya, sebelum ini.
Begitu pun, Selangor terpaksa
menunggu sehingga minit terakhir babak pertama untuk membuka jaringan, selepas
permainan kedua-dua pasukan agak hambar.
Pulau Pinang yang turun tanpa
penyerang sensasinya, Azman Adnan, terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam
tempoh setengah jam terakhir apabila ketua pasukannya, Moey Kok Hong dibuang
padang.
Zainal yang banyak membantu
bahagian tengah, mengatur beberapa siri gerakan Merah Kuning, tetapi hanya
hantarannya pada minit ke-45 membuahkan hasil.
Umpanan leret yang mencelah
pertahanan lawan menuju ke Sivaram yang berdepan dengan Azlisham Ibrahim dan
penjaga gol Harimau Kumbang dapat menampan percubaan pertama pemain tengah
Selangor itu.
Namun, bola kembali melantun
kepada Sivaram yang kali ini tidak membuat kesilapan merembat kencang
menewaskan Azlisham.
Belumpun Pulau Pinang panas
badan pada babak kedua, Sivaram sekali lagi menghukum kelalaian benteng lawan
apabila serangan kilat S. Paidiya Rau menambah derita pasukan dari Utara itu.
Paidiya melarikan bola secara
solo dan meleretkan ke depan kepada Sivaram yang tidak dikawal, memudahkan
pemain itu menolak masuk.
Kok Hong yang sebelum itu
dilayangkan kad kuning kerana menyiku Rusdi Suparman, diperintah keluar padang
pada minit ke-60 apabila sekali lagi melakukan kekasaran ke atas penyerang
kebangsaan itu setengah jam sebelum tamat perlawanan.
Keadaan itu tambah menyukarkan
Pulau Pinang melakukan kebangkitan dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya
Selangor yang sejurus selepas itu, menambah gol ketiga menerusi jaringan
lambung Zainal.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Saj6nZbu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan