Sabtu, 25 Mac 2017

Zainal tidak mampu buat magis

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
24 MAC 2017
 Zainal Abidin (dua kanan) bersalaman dengan Zairil selepas sidang media hari ini. Zainal Abidin (dua kanan) bersalaman dengan Zairil selepas sidang media hari ini.
KETUA Jurulatih Pasukan Bola Sepak Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan berazam akan membimbing pasukan itu ke landasan lebih baik bagi menghadapi Liga Super sehingga ke penghujung musim.

Bekas Ketua Jurulatih Pahang dan Selangor itu berkata, beliau akan memberi yang terbaik kepada Harimau Kumbang bagi mengembalikan cahaya baharu kepada pasukan itu.

Bagaimanapun, Zainal Abidin berkata, tanggungjawab yang diberikan kepadanya adalah tugas berat untuk dipikul namun beliau akan buat yang terbaik.


"Terima kasih kepada warga bola Pulau Pinang kerana beri kepercayaan kepada saya untuk membimbing Pulau Pinang. Saya tahu keadaan di Pulau Pinang dan apa yang sangat penting, nama Pulau Pinang perlu diharumkan oleh semua pihak.


"Saya memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk pemain, penyokong, pegawai dan media untuk misi ini. Tugas ini bukan hanya saya, tetapi semua pihak ada tugas masing-masing. Sokongan luar juga amat penting bagi menjayakan bola sepak Pulau Pinang," katanya kepada media hari ini.

Bekas pemain kebangsaan berusia 54 tahun itu berkata, beliau berharap agar semua pihak tidak terlalu memberi harapan yang tinggi kepadanya kerana menyifatkan persembahan bola sepak ada pasang surutnya.

"Saya terima tawaran ini dengan hati yang terbuka dan seikhlas hati untuk bekerja dengan semua pihak terlibat bagi memastikan kedudukan Pulau Pinang berubah. Tetapi perlu diingat, saya tidak boleh buat 'magic'. Bola sepak ada naik turunnya.

"Kegagalan saya di Selangor diambil sebagai ikhtibar dan saya ke luar negara untuk memperbaiki kemahiran saya sebagai jurulatih. Di sini, situasi amat penting dalam kerjaya saya untuk pulihkan diri dan juga pasukan Pulau Pinang. Saya sudah mengetahui prestasi Pulau Pinang dan akan ada rencah baharu yang akan saya suntik kepada pasukan ini," katanya.

Ditanya tentang rombakan pemain dalam pasukan yang akan dibimbingnya itu, Zainal Abidin berkata, beliau perlu meneliti perkara itu terlebih dahulu selepas mula berkhidmat Isnin ini.

"Saya rasa apa yang perlu diberi tumpuan adalah apa yang ada sekarang sebab Liga Super pun belum habis. Bagi saya tidak adil jika menggugurkan pemain pada waktu sekarang kerana kesemua pemain tidak dapat menunjukkan prestasi yang betul.

"Jika seseorang pemain itu hendak digugurkan, tetapi ketika dalam bimbingan saya, dia menunjukkan prestasi yang baik, maka tidak adil jika kita menggugurkannya. Oleh itu, penilaian akan bermula dari saya mula bertugas. Itu adalah penilaian terbaik ke atas mereka. Saya harap pemain akan bangkit dan memberi kerjasama dan prestasi yang baik," katanya.

Sementara itu, menjawab persoalan yang sama, Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari berkata, setiap ketua jurulatih mempunyai struktur dan organisasinya sendiri.

Zairil berkata, perkara itu akan diketahui selepas Zainal Abidin mula bertugas minggu hadapan.

"Setiap ketua jurulatih ada caranya tersendiri, sama ada akan ada rombakan atau tidak, itu akan mengikut kehendak Zainal Abidin. Buat waktu ini, beliau kena kerja dahulu lah.

"Kita pun tidak tahu apa yang beliau nak buat. Bagi masa untuk beliau dahulu buat ketika ini," katanya.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 24.3.017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan