Rabu, 22 Mac 2017

Pusingan akhir sasaran Zainal



ARKIB : 04/04/2002
PASUKAN bola sepak remaja negara meletakkan sasaran baru untuk layak ke pusingan akhir kejohanan bola sepak bawah 17 Gabungan Bola sepak Asia (AFC) di Amiriah Arab Bersatu (UAE), September ini.

Jurulatih, Zainal Abidin Hassan berkata untuk memenuhi sasaran itu para pemain negara perlu mencatatkan keputusan terbaik apabila mengharungi pusingan kelayakan yang akan diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) di Kelana Jaya Mei ini.

``Skuad negara akan bertemu Macau pada 11 Mei, diikuti Brunei pada 13 Mei sebelum menamatkan saingan menentang Jepun dalam usaha menempah tempat ke pusingan akhir,'' kata Zainal.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran produk terbaru keluaran Nike dan kempen bola sepak terbaru anjuran jenama itu yang dipanggil sebagai Secret Tournament di Kuala Lumpur, semalam.

Zainal berharap anak-anak buahnya memberikan tumpuan sepenuhnya pada pusingan kelayakan itu dalam usaha mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

``Kita mempunyai beberapa kelebihan seperti beraksi di gelanggang sendiri dan sudah menjalani persediaan yang intensif untuk menghadapi cabaran ketiga-tiga negara di peringkat kelayakan itu.

``Jepun tentu menjadi pilihan dan halangan utama tetapi pada masa yang sama kami tidak memandang ringat keupayaan pasukan seperti Macau dan Brunei,'' katanya.

Menurut Zainal lagi, barisan pemain yang akan beraksi pada kejohanan itu kelak tidak banyak berubah daripada pasukan yang mewakili negara pada kejohanan bawah 17 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Kuala Lumpur baru -baru ini,'' katanya.

Menurut Zainal, sebelum beraksi pada kejohanan itu nanti, para pemain akan bertanding dalam Kejohanan Piala Milo di mana mereka akan mengharungi enam perlawanan menentang pasukan-pasukan negeri pada 12 April ini.

``Ia menjadi salah satu latihan berguna kerana pemain -pemain akan bertemu pasukan yang dibarisi oleh pemain yang berusia melebihi dua tahun daripada mereka,'' katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Nike Malaysia, Sharon Ong berkata, pelancaran kempen bola sepak terbaru itu adalah salah satu daripada usaha Nike untuk memperkenalkan bola sepak 3 lawan 3 yang melibatkan ketepatan, kepantasan dan kecekapan.

Menurut Sharon, sehubungan dengan itu Nike akan mengadakan kejohanan 3 lawan 3 yang akan dibahagikan kepada tiga kategori, terbuka, bawah 15 tahun dan bawah 17 tahun yang akan bermula 30 Mei hingga 2 Jun ini di Petaling Jaya.

Dalam majlis promosinya semalam, pihak media juga telah menonton iklan selama 60 saat yang mempamerkan contoh bagaimana Secret Tournament itu akan diadakan.

Yuran pendaftaran untuk menyertai kejohanan ini ialah RM30

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4c4AW8Qjb© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan