ARKIB : 30/03/2003
Oleh Johari Shawal
BIAR pun sudah berusia, sentuhan
pemain veteran Selangor masih berbisa apabila menewaskan veteran Singapura 1-0
dalam perlawanan persahabatan sempena Piala Sultan Selangor di Stadium Shah
Alam, semalam.
Dibarisi bekas-bekas pemain
Selangor yang sebahagian besarnya turut merupakan bekas wira bola sepak
kebangsaan, pasukan itu memperoleh gol tunggalnya menerusi Zainal Abidin Hassan
seawal minit ke-2.
Jaringan Zainal berpunca daripada
gerakan solonya dari tengah padang dengan mengelecek tiga pertahanan Singapura
sebelum merembat rendah menewaskan penjaga gol pelawat, Patrick Wee Sing Hock.
Aksi kedua-dua pasukan jelas
mencuit hati dan menghiburkan kira-kira 50,000 penonton.
Kebanyakan mereka datang khusus
untuk meleraikan rindu untuk menyaksikan kelibat dan sentuhan pemain-pemain
seperti Santokh Singh, Datuk Dell Akhbar, Datuk Soh Chin Aun, Datuk M.
Chandran, Khalid Ali, Abdullah Ali dan Dollah Salleh.
Malah aksi Santokh, Chin Aun dan
Dollah kerap menggamatkan stadium dan merancakkan permainan.
Melengkapkan kemeriahan barisan
skuad veteran Selangor yang dibimbing Datuk Ghani Minhat adalah Redzuan
Abdullah, Hanafiah Ali, K. Rajagopal dan Razali Alias.
Veteran Singapura yang
dikendalikan Majid Arif tidak kurang hebatnya apabila turut menurunkan bekas
wira-wira mereka termasuk Samad Ali Pitchay, Malek Awab, V. Sundramoorthy dan
Suria Murthi.
Perlawanan turut disaksikan
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor,
Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo.
Perlawanan ini dilangsungkan
sempena kemahkotaan Sultan Selangor.
Sementara itu, pasukan pilihan
Selangor turut mencatat kemenangan 4-1 ke atas pilihan Singapura dalam
perlawanan selepas itu untuk merebut Piala Sultan Selangor.
Gol Selangor dijaringkan
Nizarudin Yusof (m2, 23), Juan Manual Arostegui (m57) dan Rudie Ramli (m90).
Manakala gol tunggal Singapura
dijaringkan Dalis Supait pada minit ke-11
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cny2Orwl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan