Jumaat, 24 Mac 2017

Pulih semangat pemain tugas utama Zainal



Zainal ABIDIN HASSAN (dua dari kanan) bersalaman dengan Zairil
Zainal ABIDIN HASSAN (dua dari kanan) bersalaman dengan Zairil
ZAINAL ABIDIN HASSAN (dua dari kanan) bersalaman dengan Zairil Khir Johari selepas majlis pengumuman pelantikannya sebagai jurulatih Harimau Kumbang di Pulau Pinang semalam. Utusan/Noor Ain Hidayah Adenan

PULAU PINANG 24 Mac - Ketua jurulatih Pulau Pinang yang baharu Zainal Abidin Hassan berkata antara perkara pertama akan dilaksanakannya bermula minggu hadapan adalah memulihkan semangat pemain dan memperbaiki kualiti skuad Harimau Kumbang yang kini berada di anak tangga tercorot Liga Super.

Pulau Pinang belum mencatat kemenangan selepas lapan perlawanan dengan hanya dua keputusan seri berturut-turut untuk dibanggakan setakat ini iaitu de­ngan Melaka United dan PKNS FC, yang merupakan dua perlawanan terakhir untuk Ashley Westwood sebelum bekas pemain Manchester United itu disingkirkan.

Zainal yang dilantik sebagai pengganti Westwood, dan akan memulakan tugasnya Isnin depan berkata, dia akan berusaha mene­rapkan pengalamannya selain ilmu yang diperolehnya bersama Kelab Liga Inggeris, Cardiff City FC selama tiga bulan tahun lalu selepas berkhidmat dengan Pahang akan digunakan dengan baik.

Harimau Kumbang hanya menjaringkan empat gol setakat ini dan telah dibolosi 16 kali, rekod yang pastinya menjejaskan semangat pasukan dan bekas pengendali Se­langor berusia 54 tahun itu berkata, dia perlu bekerja keras untuk memulihkan semula moral pemain sebaik sahaja memulakan tugas dan perbinca­ngan terperinci akan dilakukan de­ngan pihak pengurusan.

“Saya yakin akan dapat memulihkan skuad Harimau Kumbang tetapi perlu bekerja keras dan konsisten. Jika saya tidak yakin, saya tidak berada di sini,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan pelantikannya, di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari dan penolong ketua jurulatih Derren Read.

Ahad lalu, FAP mengumumkan kontrak Westwood ditamatkan dan tanggungjawab tersebut digalas sementara oleh Read.

Ketika ditanya desas-desus pengambilan empat pemain baharu, Zainal berkata, masih terlalu awal untuk bertindak sedemikian kerana dia belum bertemu dengan skuad dan perlu menilai prestasi kesemua pemain.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/pulih-semangat-pemain-tugas-utama-zainal-1.461486#ixzz4cI0xi5V© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan