ARKIB : 04/04/2002
PASUKAN bola sepak remaja negara
meletakkan sasaran baru untuk layak ke pusingan akhir kejohanan bola sepak
bawah 17 Gabungan Bola sepak Asia (AFC) di Amiriah Arab Bersatu (UAE),
September ini.
Jurulatih, Zainal Abidin Hassan
berkata untuk memenuhi sasaran itu para pemain negara perlu mencatatkan
keputusan terbaik apabila mengharungi pusingan kelayakan yang akan diadakan di
Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) di Kelana Jaya Mei ini.
``Skuad negara akan bertemu Macau
pada 11 Mei, diikuti Brunei pada 13 Mei sebelum menamatkan saingan menentang
Jepun dalam usaha menempah tempat ke pusingan akhir,'' kata Zainal.
Bekas pemain kebangsaan itu
berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran produk terbaru keluaran
Nike dan kempen bola sepak terbaru anjuran jenama itu yang dipanggil sebagai
Secret Tournament di Kuala Lumpur, semalam.
Zainal berharap anak-anak buahnya
memberikan tumpuan sepenuhnya pada pusingan kelayakan itu dalam usaha mencapai
sasaran yang telah ditetapkan.
``Kita mempunyai beberapa
kelebihan seperti beraksi di gelanggang sendiri dan sudah menjalani persediaan
yang intensif untuk menghadapi cabaran ketiga-tiga negara di peringkat
kelayakan itu.
``Jepun tentu menjadi pilihan dan
halangan utama tetapi pada masa yang sama kami tidak memandang ringat keupayaan
pasukan seperti Macau dan Brunei,'' katanya.
Menurut Zainal lagi, barisan
pemain yang akan beraksi pada kejohanan itu kelak tidak banyak berubah daripada
pasukan yang mewakili negara pada kejohanan bawah 17 Persekutuan Bola Sepak
ASEAN (AFF) di Kuala Lumpur baru -baru ini,'' katanya.
Menurut Zainal, sebelum beraksi
pada kejohanan itu nanti, para pemain akan bertanding dalam Kejohanan Piala
Milo di mana mereka akan mengharungi enam perlawanan menentang pasukan-pasukan
negeri pada 12 April ini.
``Ia menjadi salah satu latihan
berguna kerana pemain -pemain akan bertemu pasukan yang dibarisi oleh pemain
yang berusia melebihi dua tahun daripada mereka,'' katanya.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran
Nike Malaysia, Sharon Ong berkata, pelancaran kempen bola sepak terbaru itu
adalah salah satu daripada usaha Nike untuk memperkenalkan bola sepak 3 lawan 3
yang melibatkan ketepatan, kepantasan dan kecekapan.
Menurut Sharon, sehubungan dengan
itu Nike akan mengadakan kejohanan 3 lawan 3 yang akan dibahagikan kepada tiga
kategori, terbuka, bawah 15 tahun dan bawah 17 tahun yang akan bermula 30 Mei
hingga 2 Jun ini di Petaling Jaya.
Dalam majlis promosinya semalam,
pihak media juga telah menonton iklan selama 60 saat yang mempamerkan contoh
bagaimana Secret Tournament itu akan diadakan.
Yuran pendaftaran untuk menyertai
kejohanan ini ialah RM30
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4c4AW8Qjb©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan