ARKIB : 05/12/2001
BEKAS pemain bola sepak
kebangsaan yang kini membimbing pasukan remaja negara, Zainal Abidin Hassan
berkata, tidak mustahil Malaysia boleh layak ke Piala Dunia satu ketika nanti
jika memiliki jurulatih yang berwibawa di peringkat kebangsaan.
Katanya, impian itu agak
mustahil ketika ini tetapi dalam jangka masa panjang, pasukan negara mampu
meletakkan diri di peringkat tertinggi itu.
``Pasukan yang baik boleh
dibentuk oleh jurulatih yang berwibawa tetapi ia perlu dimulakan dari peringkat
bawah.
``Pemain remaja adalah sasaran
utama dan golongan inilah yang sedang saya bentuk untuk cuba memenuhi impian
itu,'' kata Zainal di Kuala Lumpur, semalam.
Bekas penyerang kebangsaan
berusia 39 tahun itu ditemui selepas menerima sijil kejurulatihan daripada
kedutaan Jerman di Kuala Lumpur, semalam.
Zainal lulus dengan cemerlang
dalam kursus kejurulatihan di Jerman pada 3 hingga 28 September itu yang
dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) dan Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM).
Selepas menamatkan kerjaya
sebagai pemain, kali terakhir bersama Selangor pada 1999, Zainal menjadi
penolong jurulatih Red Giants di bawah K. Rajagopal pada Januari 2000 sebelum
dilantik oleh FAM sebagai ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun, yang muncul
juara Piala Lion City di Singapura, Ogos lalu.
Hadir sama pada majlis itu
ialah penasihat Akademi Bola Sepak Pahang, Holger Obermann. Sijil kejurulatihan
disampaikan kepada Zainal oleh Duta Jerman ke Malaysia, Jurgen A.R. Staks.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bpfZ4xtN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan