ARKIB : 17/10/1999
TERENGGANU mengaibkan Selangor dengan kemenangan 3-1 pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.
Terengganu kini melonjak dari tangga keempat setelah mengumpul sembilan mata daripada perlawanan kelimanya.
Sedangkan Selangor terus dirundung luka parah sesudah dibelasah 0-5 oleh Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, minggu lalu.
Kekalahan ketiga Selangor ini turut mengekalkannya di tangga tercorot kumpulan dengan cuma mengutip lima mata.
Pada minit ke-13, Terengganu yang cuba memecahkan kebuntuan melakukan serangan, tetapi nyata gagal membuah hasil apabila rembatan Mat Zahir Wahab pula melepasi palang gol.
Begitupun, gandingan penyerang, Hairuddin Omar dan Sapian Abdul Wahab tidak menghampakan apabila mereka berjaya membolosi gawang Selangor untuk gol pertama pasukan itu.
Hairuddin yang tidak dikawal kemas, mudah melorongkan bola untuk disempurnakan oleh Sapian, sekali gus menewaskan penjaga gol Selangor, Amirrul Zain Ismail.
Pasukan tuan rumah, Selangor bangkit di babak kedua dengan corak permainan lebih agresif dan berjaya mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-48.
Usaha ketua pasukan, Zainal Abidin Hassan melakukan hantaran cantik di depan pintu gol nyata tidak sia-sia apabila bola berjaya dirembat masuk oleh Lim Chan Yew.
Pada minit ke-63, K. Sanbagamaran nyaris menambah gol untuk tuan rumah, tetapi hasratnya dinafikan penjaga gol Terengganu, Zubir Ibrahim yang pantas menepis keluar bola rembatannya.
Terengganu yang terus memburu gol akhirnya kembali mendahului menerusi gol kedua jaringan Hairuddin yang menerima hantaran cantik pemain gantian, Rosli Omar pada minit ke-77.
Kedatangan Terengganu ke stadium keramat Selangor itu akhirnya membawa padah apabila pasukan pelawat berjaya meraikan gol ketiga pada minit ke-84 jaringan A. Ganeson selepas berlaku pergelutan di depan pintu gol.
SELANGOR: Amirrul Zain Ismail (1), Shamsul Amri Abu Bakar (3), Mat Zahir Wahab (8) (Fareed Shah Hassan - 7), K. Sanbagamaran (12), Lim Chan Yew (13), Assrof Mohd. Hanafiah (15) (Jaafar Salleh - 25), Kamarulzaman Yop Majid (16), Zainal Abidin Hassan (17), Nazzab Hidzan (18), Paidiya Rau (20), Abdul Rauf Ahmad (21).
TERENGGANU: Roshadi Wahab (2) (Rosli Omar - 3), Abd. Ghani Malik (5), Mohd. Zulfakri Ashaari (6) (Mohd. Rafdi Abd. Rashid - 18), Syamsol Mohd. Saad (7) (Zulharisham Awang - 14), Sapian Abd. Wahab (8), Hairuddin Omar (10), Mohd. Noor Derus (12), Anuar Jusoh (13), A.Ganeson (17), Badrul Hisham Abdullah (20), Zubir Ibrahim (21).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan