Sabtu, 3 Disember 2016

Merah Kuning kukuhkan kedudukan

ARKIB : 22/05/1999
SELANGOR mengekalkan kedudukan di takhta liga apabila menewaskan Melaka 3-2 menerusi sepakan penalti setelah seri 2-2 pada perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium Kubu, Melaka, semalam.

Merah Kuning terus mengatasi pencabar terdekat, Johor FC dengan kelebihan perbezaan gol, sekali pun lawan turut meraih kemenangan pada peralawanan menentang Tentera.

Ketua pasukan, Zainal Abidin Hassan menjadi wira pasukan pelawat itu apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-88, meskipun Melaka mendahului perlawanan sebelum itu dengan 2-1.

Gol-gol penalti Selangol oleh Shamsul Amri Abu Bakar, Nazzab Hidzan dan Zainal Abidin Hassan, manakala Melaka menerusi Rahudin Kasmani dan Omar Abdul Hadi.

Di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, jaringan tunggal Sheikh Ahmad Redzuan Abu Bakar menjadi penyelamat maruah Johor FC apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Tentera.

Tentera yang menguasai babak pertama, mendapat peluang terbaik pada minit ke-36, namun percubaan Mohd Rodsi Tahir dari luar kotak penalti melencong ke sebelah kanan gol.

Johor FC kembali bangkit pada tiga minit babak kedua tetapi hantaran cantik Shamsul Sulaiman ditanduk keluar oleh Sheikh Ahmad Redzuan.

Pada minit ke-53, Johor FC sekali lagi membuat gerakan berbahaya apabila Azni Ariffin melencongkan bola kepada Sheikh Ahmad Redzuan tetapi sempat dihadang oleh pemain pertahanan Tentera sebelum bola keluar.

Johor FC yang mengukuhkan jentera serangan dengan memasukkan bekas pemain Sarawak, Shamsurin Abdul Rahman tetapi masih gagal menambah gol.

Di Stadium Utama, Kangar, tuan rumah Perlis memperkukuhkan kedudukan apabila menumpaskan Telekom Melaka empat jaringan tanpa balas.

Singa Utara mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi jaringan Manzoor Azwira Abd Wahid seawal minit keenam, Rozmin Musa (21) dan Hairil Zamri Abd Rashid ( 45).

V. Yogeswaran melengkapkan kemenangan tuan rumah menerusi jaringannya, empat minit sebelum tamat permainan.

Di Stadium Sultan Mohammad ke-IV, Kota Bharu, TNB Kelantan mencatat kemenangan 3-2 ke atas pasukan pelawat, NS Chempaka.

Gol-gol TNB Kelantan diperoleh menerusi jaringan Mohd Juhari Ghazali seawal minit kedua, Tuan Ismail Tuan Ibrahim (15) dan Hamdi Ibrahim (70), manakala NS Chempaka melalui M. Sivam (7) dan K. Olaga Shanker pada minit ke-66.

Di Stadium Larkin, Johor Bharu, Tuan rumah Johor menang tipis 1-0 ke atas Kelantan menerusi jaringan Rosdee Sulong pada minit ke-30.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0522&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Rlnxt8K0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan