Jumaat, 9 Disember 2016

Pahang cemerlang


 

ARKIB : 03/10/1999
KETUA pasukan Selangor, Zainal Abidin Hassan (tengah) mengawal bola sambil cuba dikejar oleh salah seorang pemain Negeri Sembilan pada perlawanan kumpulan A bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.Negeri Sembilan 2 Selangor 1. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI

PAHANG meneruskan kecemerlangan dengan kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan Brunei 1-0 pada perlawanan kumpulan B bola sepak Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur, Kuantan, semalam.

Kemenangan itu hasil daripada gol tunggal Wan Rohaimi Ismail pada babak pertama dan memperkukuhkan kedudukan Pahang di tangga teratas kumpulan dengan maksimum sembilan mata daripada tiga perlawanan.

Dalam perlawanan semalam, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga dan kadangkala agak keras sehingga dua pemain Brunei dilayangkan kad kuning.

Pahang mendahului seawal minit ke-11 hasil jaringan Wan Rohaimi melalui gerakan Tengku Hazman dan Ahmad Shaharuddin Rosdi.

Ahmad Shaharuddin yang menerima hantaran Tengku Hazman pantas melorongkan bola kepada Wan Rohaimi yang tidak dikawal seterusnya menewaskan penjaga gol Brunei, Ibrahim Bakar.

Gol itu ternyata menyuntik semangat pemain Pahang terutama di bahagian serangan yang terus melancarkan serangan bertaliarus melalui Azizul, Wan Rohaimi dan Tengku Hazman.

Namun, barisan pemain Brunei kental bertahan dan tidak mudah goyah, sebaliknya menguasai perlawanan terutama pada penghujung babak pertama.

Pada minit ke-27, Brunei nyaris menjaringkan gol penyamaan apabila dua percubaan berturut-turut daripada Irwan Mohamed dan Patron Akakpo dikawal kemas oleh penjaga gol Pahang, Zuraimi Hassan.

Saingan pada separuh masa kedua, menyaksikan semakin sengit apabila Brunei terus melancarkan serangan dalam usaha mencari gol penyamaan.

Penyerang Brunei, Brian Bothwel dan Patron Akakpo sering kali mengucar-ngacirkan pertahanan Pahang, namun usaha membolosi gawang tuan rumah gagal.

Negeri sembilan memilih Selangor sebagai sasaran kebangkitannya dalam kumpulan A bola sepak Piala Malaysia apabila mengaibkan tuan rumah 2-1 di Stadium Shah Alam.

Kemenangan sulung Negeri Sembilan selepas tiga perlawanan bertambah manis kerana berjaya meranapkan rekod tanpa kalah Selangor yang sebelum ini menerajui kumpulan A.

Ketua pasukan, B. Rajinikandh menjadi perintis kejatuhan Selangor sambil Azmi Mohamed menyusul untuk mencipta gol kemenangan pelawat.

Sebaliknya kekalahan semalam seperti satu bentuk petanda kejatuhan Selangor sesudah terselamat dengan penentuan penalti 5-4 ke atas Perak Selasa lalu.

Rajinikandh membuka jaringan hasil tandukan kencang sepakan sudut minit ketiga. Dia melonjak tinggi untuk menewaskan barisan pertahanan Selangor serta benteng terakhir, Amirul Zain Ismail.

Selangor hanya berjaya menyamakan kedudukan pada babak kedua minit ke-61 apabila Rusdi yang mendapat umpanan Rauf Ahmad berjaya membolosi gol untuk menceriakan penyokong sendiri.

Babak kedua dikuasai tuan rumah tetapi Negeri Sembilan lebih bijak mencuri peluang apabila Azmi, yang sering menghampakan Negeri Sembilan Selasa lalu, memberikan gol kemenangan pelawat pada minit ke-80.

Azmi yang menghidu kesempatan dari ruang sebelah kiri melakukan gerakan solo tetapi tendangan pertamanya terkena tiang namun tindakan susulannya berjaya memperoleh jaringan kedua buat Rusa.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SMFQJ4Ep © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan