Ahad, 30 April 2017

Zainal sedia tinggalkan Pahang

ARKIB : 06/11/2004
JURULATIH Pahang, Zainal Abidin Hassan bersedia menimbang sebarang tawaran jika ada pasukan dari negeri lain yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya bagi menghadapi kancah bola sepak Liga Malaysia pada musim depan.
Bagi jurulatih itu, hanya tawaran yang difikirkan menarik dan lumayan barulah beliau akan memutuskan untuk meninggalkan Pahang atau sebaliknya.
``Setakat ini, saya masih belum memikirkan soal tersebut kerana tugas saya bersama Pahang belum selesai.
``Tetapi saya sedia untuk membuat pertimbangan jika ada tawaran yang lebih menarik,'' ujarnya sewaktu menghadiri majlis berbuka puasa bersama pemain dan pengurusan pasukan Pahang di Kuantan, semalam.
Menurut Zainal, sehingga kini beliau berpuas hati membimbing skuad Pahang kerana mendapat kerjasama pemimpin pasukan dan pemain-pemain yang bersikap profesional dan mampu menterjemahkan arahan-arahan yang diberikan.
Katanya, soal tawaran itu bukan menjadi keutamaannya sekarang tetapi beliau mahu menumpukan perhatian untuk memastikan Piala Malaysia menjadi milik Pahang.
Dalam pertemuan separuh akhir Piala Malaysia pada 23 dan 27 November ini, skuad Tok Gajah akan berdepan dengan Perlis.
Sementara itu, Zainal menyifatkan Perlis adalah pasukan yang sukar untuk dikalahkan berdasarkan tiga pertemuan sebelum ini mereka seri dua kali dan kalah sekali.
``Saya sudah mengkaji kelebihan dan kelemahan yang ada pada pasukan Perlis dan saya sudah memberikan beberapa ramuan dan arahan untuk mengikat pergerakan lawan.
``Saya yakin dalam pertemuan dengan Perlis nanti pemain Pahang dapat melakukan yang terbaik bagi untuk menang dan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia,'' ujar Zainal.
Katanya, beliau telah mengarahkan pemain supaya menguatkan benteng pertahanan bagi memudahkan jentera serangan untuk melakukan tugas mereka melangkah kaki ke perlawanan akhir nanti.
Sementara itu, Pengurus Pahang, Datuk Shahiruddin Moin berkata, kesebelasan pemain Tok Gajah kini sudah bersiap sedia untuk menggempur pemain Singa Utara.
``Mereka ini 100 peratus bersedia dan pengalaman pahit kerana gagal dalam persaingan Piala FA, mereka berjanji tidak akan mengulangi kesilapan lalu.
``Dengan semangat jitu saya yakin Pahang mampu melepasi cabaran separuh akhir.
``Walaupun Tok Gajah sedikit terjejas kerana tiga pemain kita kini bersama pasukan kebangsaan iaitu Indra Putra Mahyudin, Rosdi Talib dan Fadzli Saari beraksi untuk persaingan Piala Dunia tetapi itu tidak menjejaskan kesefahaman dan jentera serangan,'' kata Shahiruddin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan