Isnin, 10 April 2017

Zainal lega Harimau Kumbang 'menggigit


BERNAMA
 
Maran: Kemenangan 1-0 diraih skuad Pulau Pinang ke atas Felda United begitu berharga untuk memperbaiki kedudukan pasukan itu dalam saingan Liga Super musim ini.

Pengendalinya, Zainal Abidin Hassan berkata beliau berpuas hati kerana kesebelasan utama mempamer kesungguhan sepanjang 90 minit perlawanan untuk mencapai matlamat itu.

"Pemain menunjukkan permainan baik apabila mereka berusaha bersungguh-sungguh seawal babak permainan hingga akhir.

"Hasilnya seperti kita dapat lihat, mereka berjaya menjaringkan satu gol sekali gus meraih kemenangan bagi mengutip tiga mata.

"Kami sememangnya memerlukan mata bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super dan kejayaan ini melegakan kami," katanya selepas perlawanan di Stadium Tun Abdul Razak di sini, semalam.

Pulau Pinang mengharungi sembilan perlawanan kini masih menghuni tangga tercorot liga dengan mengutip lima mata.

Zainal Abidin berkata faktor sokongan penyokong turut memainkan peranan dalam menyuntik semangat kepada anak buahnya untuk beraksi tanpa mengenal erti mengalah.

"Mereka datang dari jauh semata-mata untuk memberi sokongan kepada pasukan dan saya amat berterima kasih kerana ia banyak meningkatkan moral pemain ketika bermain di gelanggang lawan," katanya.

Ketua jurulatih Felda United, B Sathianathan pula berkata beliau akur apabila skuad kendaliannya dihukum dengan kekalahan itu.

"Peluang yang diperolehi oleh Felda United untuk mencipta gol tidak digunakan sebaik-baiknya terutama pada awal minit permainan.

"Apa saya perhatikan kelemahan dari aspek mental pemain, teragak-agak atau 50-50 dalam perebutan bola selain keazaman Pulau Pinang lebih tinggi untuk mendapat kemenangan," katanya.

Beliau berkata beberapa kelemahan itu perlu segera diatasi menjelang aksi menentang pasukan Tampines Rovers pada saingan Piala Konfedarasi Bolasepak Asia (AFC) 19 April ini di halaman sendiri.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 1:51 PMs

Tiada ulasan:

Catat Ulasan