Sabtu, 1 Mei 2021

Zainal berang pemain cuai

Nazri Abu Bakar

am@hmetro.com.my



ZAINAL kecewa Melaka United tewas. FOTO NSTP

Melaka: Jurulatih Melaka United (MU) Zainal Abdiin Hassan berang selepas anak buahnya melepaskan jaringan mudah kepada lawan yang menjadi faktor kekalahan 1-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, semalam.

Menurutnya, sudah berkali-kali dia mengingatkan pemain agar tidak leka dan melakukan kesilapan kerana untuk mendapatkan gol amat sukar terutama selepas pasukannya mengikat kedudukan 1-1 pada 45 minit pertama.

Katanya, dia sudah melihat semula jaringan yang dicipta pelawat tetapi perkara sama masih berlaku.

Sehubungan itu, anak buahnya perlu mengambil iktibar selain tampil dengan semangat baharu untuk tidak memberi ruang kepada lawan menjaringkan gol.

Baginya, pemain berjaya menunjukkan keyakinan yang tinggi pada separuh masa pertama dan 20 minit babak kedua walaupun beberapa pemain utama mengalami kecederaan dan digantung perlawanan.

"Persembahan pasukan jatuh selepas jaringan kedua pelawat yang menjadi antara faktor kekalahan, walaupun gandingan Alex Goncalves dan Stefan Nikolic dapat digabungkan kali ini biarkan tanpa kelibat Sony Norde, namun Goncalves yang baru pulih dari kecederaan beraksi bukan tahap sebenar.

"Apapun, saya akui dengan tekanan dihadapi mengambil kira kedudukan pasukan ketika ini, saya profesional dan selagi diberi kepercayaan saya terus berusaha memperbaiki pencapaian pasukan," katanya.

Zainal berkata, dia tidak mendapat sebarang maklumat berkaitan perubahan pasukan atau jurulatih, justeru dia akan terus menjalankan tugas dengan dedikasi.

Gol -gol kemenangan Kedah dalam perlawanan itu dihadiahkan menerusi Kpah Sherman minit ke-18 dan 59 serta Baddrol Bakhtiar minit ke-86).

Jaringan saguhati tuan rumah disempurnakan Nikolic pada minit ke-37 menerusi sepakan penalti.

Sementara itu, jurulatih KDA, Aidil Sharin Sahak pula mengakui perubahan susunan pemain selepas dua pemain utama tidak beraksi, tidak menggugat persembahan pasukan untuk agresif meraih mata maksimum walaupun perlu berdepan ujian getir di laman lawan.

Disiarkan pada: Mei 1, 2021 @ 12:54pm.1

________________________________________

Tiada ulasan:

Catat Ulasan