Khamis, 29 April 2021

Zainal masih diberi peluang

Nazri Abu Bakar

am@hmetro.com.my



Datuk Mohd Saiful Mat Sapri . FOTO MUFC

Melaka: Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) belum pernah mengadakan rundingan dengan mana-mana individu untuk mengisi tempat jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan walaupun hangat diberitakan terdapat perubahan pengendali dalam skuad berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, dia mengakui pihaknya menerima lebih 10 resume daripada jurulatih baharu ketika prestasi pasukan tidak menentu sebelum ini.

Katanya, terdapat spekulasi perubahan dalam barisan kejurulatihan susulan prestasi MU yang nyata masih belum mantap dan konsisten, namun perubahan itu semuanya masih 'khabar angin'.

Malah setakat ini pihaknya tidak pernah berunding dengan mana-mana pihak untuk mengisi tempat terbabit sebaliknya memberi talian hayat kepada Zainal untuk membimbing pasukan dalam beberapa perlawanan lagi.

"Memang terdapat lebih 10 resume saya terima dan kebanyakan jurulatih dari luar negara. Biasalah, bila ada berita mengenai kedudukan jurulatih ramai yang mahu mencuba nasib.

"Apapun, tiada sebarang perbincangan atau nama-nama jurulatih yang sedang kami fikirkan untuk mengemudi pasukan. Justeru kita memberi peluang kepada Zainal dan melihat perubahan yang dilakukan sebelum ia diputuskan oleh pihak pengurusan bersama pemilik sedikit masa lagi," katanya.

Sehubungan itu, dia juga meminta barisan kejurulatihan dan pembantu Zainal terus bekerjasama melonjakkan prestasi pasukan selepas kemenangan 1-0 ke atas Perak minggu lalu.

Dalam perkembangan lain, pihaknya juga akan meneliti prestasi keseluruhan semua lima pemain import MUFC sehingga tamat aksi separuh musim Liga Super 2021.

Malah kemungkinan besar terdapat rombakan kecil pada jendela perpindahan kedua dengan penilaian menyeluruh sebelum membuat keputusan menjelang pembukaan jendela perpindahan itu kelak.

Saiful berkata, apapun semuanya berdasarkan kewangan dan bajet mengurus sebelum membuat sebarang keputusan dan perubahan dalam pasukan.1

Disiarkan pada: April 27, 2021 @ 5:38pm

______________________________

Tiada ulasan:

Catat Ulasan