Selasa, 11 Mei 2021

Kedudukan Zainal bagai 'telur di hujung tanduk'

Oleh Nazri Abu Bakar - Mei 10, 2021 @ 3:16pm

bhsukan@bh.com.my



Jurulatih pasukan Melaka United, Zainal Abidin Hassan ketika sidang media selepas aksi menentang PJ City, malam tadi. - FOTO SYAFEEQ AHMAD

MELAKA: "Saya akan terus menjalankan tugas selagi tiada apa-apa arahan," kata jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan selepas pasukannya sekadar seri tanpa jaringan menentang PJ City di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.Dia mengulas mengenai kedudukannya selepas pengurusan Melaka United sebelum ini mahu menilai kedudukan selepas dua perlawanan menentang PJ City dan Sabah.

Kedua-dua aksi itu menyaksikan skuad kendaliannya gagal melakar kemenangan sekali gus skuad Hang Tuah kini terperosok ke tangga kedua tercorot liga dan kedudukannya dianggap bagai telur di hujung tanduk.

Zainal bagaimanapun menegaskan dia bertanggungjawab ke atas prestasi pasukan dan sekiranya terus diberi kepercayaan, dia berjanji akan memulihkan skuad Hang Tuah.

Antara perancangannya ialah membawa masuk penyerang baharu selepas kecewa dengan jentera serangan yang tumpul untuk meledak jaringan walaupun pasukan bimbingannya menguasai saingan sepanjang 90 minit di laman sendiri menentang PJ City, malam tadi.

"Jika terus diberi peluang, perancangan saya membawa masuk beberapa pemain terutama di barisan serangan kerana ia amat penting selepas ketumpulan jentera penggempur.

"Pemain dilihat memiliki disiplin yang tinggi ketika mempertahankan kubu, mengatur gerak dan mencipta peluang sehingga lawan tidak memperoleh banyak ruang," katanya.

Menurutnya, prestasi penyerang import Alex Goncalves juga kurang berkesan sebaik kembali pulih daripada kecederaan sementara Stefan Nikolic juga kurang menjadi menyebabkan dia memasukkan Goncalves menggantikan penyerang itu.1

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/05/815579/kedudukan-zainal-bagai-telur-di-hujung-tanduk

Tiada ulasan:

Catat Ulasan