Sukan
Rabu, 29 April 2015 | 10:59pm
PEMAIN Pahang meraikan gol keenam jaringan D.Saarvindran (kiri) ketika menentang Yadanarbon FC pada perlawanan kumpulan G Liga AFC 2015 di Stadium Darul Makmur. - Foto Luqman Hakim Zubir
Piala AFC: Pahang hidup peluang benam Yadanarbon 7-4
KUANTAN: Pahang kembali menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan kedua kalah mati Piala AFC 2015 selepas berjaya meraih tiga mata penuh menewaskan kelab Myanmar, Yadanarbon 7-4 pada aksi Kumpulan G di Stadium Darul Makmur, malam ini.
Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu mendahului 3-1 pada separuh masa pertama menerusi dua jaringan Dickson Nwakaeme pada minit keenam dan ke-31 serta Matias Conti minit ke-17 tetapi dibalas pelawat menerusi Djedje Maximin Djawa, minit ke-45.
Pahang kembali menjarakkan jurang gol menerusi penyudah pemain gantian, D Saarvindran pada minit ke-47 untuk gol keempat tuan rumah, namun Yadanarbon merapatkan kedudukan 4-2 hasil jaringan Hlaing Bo Bo, minit ke-57.
Nwakaeme melengkapkan hatriknya apabila menanduk masuk gol kelima Pahang pada minit ke-59 tetapi Yadanarbon sekali lagi merapatkan kedudukan 5-3 juga menerusi jaringan Bo Bo, minit ke-67.
Namun Pahang terus garang apabila menambah dua lagi gol menerusi Hafiz Kamal pada minit ke-85 dan jaringan kedua peribadi Saarvindran, minit ke-87 sebelum Yadanarbon sempat juga membalas gol keempat hasil jaringan Win Naing Soe pada masa kecederaan.
Pada satu lagi perlawanan di Stadium Mongkok, Hong Kong, pendahulu kumpulan, South China terus cemerlang merakam kemenangan kelima berturut-turut menewaskan kelab Filipina, Global 3-0 menerusi jaringan Cheng Lai Hin pada minit ke-39, Bojan Malisic mini ke-54 dan Daniel McBreen minit ke-90.
Selepas lima perlawanan, South China yang sudah layak ke pusingan kedua kalah mati di tangga teratas Kumpulan G dengan 15 mata diikuti Pahang (7), Global (4) dan Yadanarbon (3).
Pahang memerlukan sekurang-kurangnya seri apabila bertemu Global pada aksi terakhir kumpulan di Manila, 13 Mei ini untuk menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan bagi mengiringi South China ke pusingan kedua kalah mati.
Namun jika Pahang tewas, Global akan menyamai tujuh mata tetapi kelab Filipina itu yang akan layak menerusi peraturan head-to-head melibatkan kedua-dua pasukan itu selepas pertemuan di Kuantan sebelum ini berkesudahan seri 0-0.[1]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan