Rabu, 1 Januari 2020

Melaka United sasar empat terbaik Liga Super 2020

BERNAMA | | 1 Januari 2020
 Para pemain Melaka United giat menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi saingan Liga Super 2020. - Foto: Melaka United Soccer Association
Para pemain Melaka United giat menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi saingan Liga Super 2020. - Foto: Melaka United Soccer Association
PERSATUAN Bola Sepak Melaka United (MUSA) mensasarkan untuk menduduki empat kedudukan teratas Liga Super serta merangkul piala musim ini, kata Presidennya, Damien Yeo Shen Li.

Katanya, dalam usaha mencapai sasaran itu, pengurusan MUSA telahpun mengambil tindakan proaktif dengan membentuk sebuah pasukan yang mereka rasakan kuat dengan gandingan pemain berpengalaman dan pemain baharu yang merupakan pemain bola sepak masa hadapan negeri.

“Walaupun dengan sumber kewangan yang ada, MUSA percaya pasukan yang telah dibina mempunyai semangat melawan yang kuat pada musim yang akan datang. Tidak ada apa yang mustahil untuk dicapai, maka MUSA percaya Melaka United, akan mampu berhadapan dengan pasukan terbaik dunia pada masa hadapan.


“Saya berhasrat untuk mengambil tanggungjawab ini, untuk mencapai sasaran dalam menjadikan Melaka United sebagai satu jenama yang dikenali di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Melaka United yang di bawah kendalian legenda bola sepak negara Zainal Abidin Hassan, menamatkan saingan Liga Super musim lepas di tempat keenam dan mendahului Kumpulan D dalam Piala Malaysia, sebelum tewas kepada Pahang dengan agregat 1-6 pada peringkat suku akhir.

Damien Yeo berkata, beliau menyedari impian penyokong pasukan Hang Tuah itu, untuk melihat pasukan mereka bermain di Stadium Bukit Jalil pada perlawanan akhir dan dengan kerja keras, mereka percaya yang Melaka United bukan sahaja layak di Bukit Jalil, tetapi juga di stadium di luar negara, berhadapan pasukan terbaik dunia.

“Tidak salah untuk kami mempunyai impian yang mungkin mustahil untuk kami capai. Bagaimanapun, kita mesti sentiasa positif untuk membuat impian menjadi kenyataan,” katanya.

Bercakap mengenai memperhebatkan lagi kelab, beliau berkata, pengurusan pasukan juga bercadang untuk mendapatkan hak ke atas Stadium Hang Jebat, supaya ia boleh dimiliki oleh MUSA dan kekal sebagai stadium tuan rumah Melaka United.

Katanya, MUSA juga mahu memastikan penerusan pembangunan bola sepak di Melaka dan percaya pembangunan akar umbi merupakan satu cara bagi memastikan pasukan terus kompetitif dan kekal wujud sebagai sebuah pasukan.

“Atas sebab itu, adalah satu hasrat pengurusan MUSA di bawah kepimpinan saya untuk menubuhkan Akademi Bola Sepak Melaka United, dengan slogan #Mission04, yang akan membawa bakat muda ke tengah selain memberikan peluang kepada anak Melaka peluang bermain bola sepak,” katanya.

Damien Yeo berkata, peminat juga boleh melihat pengurusan MUSA melaksanakan beberapa inisiatif yang akan menjanakan sumber kewangan, supaya pengurusan MUSA akan dapat bergerak dengan lebih baik dan MUSA perlu berfikir luar dari kebiasaan bagi mendapatkan idea baharu, yang akan dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua penyokong dan persatuan.

“Sebab itulah pengurusan baharu ini kini secara aktif mempromosikan pas bermusim dengan pelbagai kelebihan untuk penyokongnya, jualan secara dalam talian dan memperkenalkan sektor sukan pelancongan yang saya percaya akan memastikan sebuah pentadbiran yang lebih baik pada 2020,” katanya. – Bernama.[i]




[i] Khamis | 2 Januari 2020

Tiada ulasan:

Catat Ulasan