ROSILAWATI ROSEDI
22 Julai 2014
Zainal Abidin Zainal Abidin
PEMAIN Pahang diminta mengekalkan momentum positif sebelum kempen Piala Malaysia 2014 membuka tirainya, 13 Ogos depan.
Pengendalinya, Zainal Abidin Hassan memberitahu, setakat ini semua pemain berjaya mempamerkan aksi positif sepanjang latihan sepanjang Ramadan ini.
Malah skuad itu membuktikan semangat mereka apabila membenam T-Team, 3-1 dalam aksi sulung perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu lalu.
Ketika dihubungi Sinar Harian semalam, Zainal Abidin berkata, kemenangan itu menyuntik moral pemain sebelum meneruskan tiga lagi siri perlawanan ujian sepanjang minggu ini.
“Bagi saya kemenangan ini begitu bermakna selepas kami berehat panjang dan hanya menjalani latihan sepanjang Ramadan ini.
"Walaupun masih ada kelemahan, ia tidak begitu ketara kerana fokus pemain tidak luntur terutama untuk mengekalkan gelaran juara Piala Malaysia musim ini,” katanya semalam.
Menurutnya, saingan Kumpulan A yang turut disertai JDT II, Felda United dan Lions XII seimbang dan semua pasukan memiliki kelebihan masing-masing.
“Yang pastinya semua mempunyai misi untuk mengalahkan Pahang selaku juara bertahan dan ini memang memberikan tekanan buat Tok Gajah pada musim ini,” katanya.
Justeru bekas pemain kebangsaan itu mengharapkan latihan dan perlawanan persahabatan yang dirancang digunakan sebaik mungkin oleh pemain dalam misi penting Pahang mempertahankan piala berprestij itu untuk musim ini.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 23.7.14
Tiada ulasan:
Catat Ulasan