Isnin, 14 Oktober 2019

Olimpik 2000 mampu dengan pasukan elit


ARKIB : 12/05/1998
DARIPADA sebuah pasukan yang disangsikan keupayaannya, kini skuad Olimpik 2000 mampu mendabik dada untuk berdiri sama tinggi dengan pasukan elit yang lain, lapor AMRAN MULUP.

Persembahan Olimpik yang dibimbing oleh jurulatih dari Tunisia, Hatem Souissi tampak mencurigakan pada aksi awal mengharungi pusingan kelayakan Perdana Satu Mac lalu.

Malah di kalangan peminat langsung tidak ambil peduli akan kehadiran Olimpik yang disifatkan bakal menjadi belasahan.

Malah kejayaan melayakkan diri ke Perdana Satu mengenepikaan pasukan yang lebih berpengalaman seperti Melaka dan Johor turut disifatkan sebagai nasib.

Begitu juga ketika mengharungi kempen pertama Perdana Satu apabila sekadar seri 0-0 dengan Brunei, tunduk 0-1 kepada Perak dan teikat 0-0 menentang Kedah dan seri 1-1 dengan Negeri Sembilan.

Aksi awal menjelaskan betapa skuad Olimpik mampu beraksi cemerlang tetapi dikecewakan dengan masalah ketumpulan jentera serangan.

Laungan Hatem menyatakan anak didiknya masih memerlukan masa untuk bangkit rupanya bukan omong kosong. Keyakinan jurulatih itu ada asasnya.

Kemenangan mengejutkan 1-0 Olimpik ke atas juara Liga Perdana musim lalu, Sarawak juga belum menimbulkan keyakinan bahawa anak didik Hatem mula menunjukkan sengat.

Aksi paling menarik ketika hampir-hampir melakukan kejutan ke atas juara Piala Malaysia musim lalu, Selangor selepas mendahului 2-0 pada satu ketika menerusi Faziallah Maman dan V. Saravanan.

Namun kealpaan benteng pertahanan dalam tempoh lapan minit selepas jaringan ketua pasukan Selangor, Zainal Abdin Hassan terus meranapkan kedudukan selesa untuk Merah Kuning mendahului 3-2.

Namun jaringan cantik Gilbert Cassedy dari sepakan percuma melencong menerjah jaring untuk mengikat kedudukan 3-3, menjelaskan betapa Olimpik bukan lagi pasukan yang dianggap budak belasahan.

Di hadapan ribuan penonton yang turut menyaksikan siaran langsung, rata-ratanya menghela nafas lega akan kehebatan sebenar Olimpik yang nyaris-nyaris mencoretkan malu ke atas Selangor.

Rumusan Hatem perlawanan itu sepatutnya menjadi milik mutlak Olimpik, akur anak didiknya hilang kepercayaan dan keyakinan seolah-olah tidak percayakan mereka sedang mengatasi gergasi bola sepak dengan 2-0.

Faktor kurang pengalaman jelas membuka mata Hatem satu persatu kekurangan yang perlu diatasi dari semasa ke semasa.

Yang jelasnya, pertemuan Olimpik menanti kunjungan pandahlu liga Perdana Satu, Pahang di Stadium Merdeka Jumaat, bakal menyajikan pertembungan dramatik.

Jika sebelum ini peminat rasa berat untuk turun ke Stadium Merdeka, namun kini masing-masing sudah memahatkan keinginan mahu melihat aksi Olimpik untuk menjinakkan Pahang pula.

Menilai satu persatu kelibat anak didik Hatem jelas masing-masing mula menunjukkan kematangan jauh daripada aksi sebenar di Piala Belia Dunia, Jun tahun lalu.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4JNwc1ueS © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan