Khamis, 31 Oktober 2019

Dollah, Zainal terajui Shahzan Muda

ARKIB : 03/10/2008
KUALA LUMPUR – Bekas penyerang kembar negara, Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh bakal bergandingan semula seperti zaman kegemilangan mereka pada era 80-an dan awal 90-an tetapi kali ini sebagai pengurus pasukan dan jurulatih kelab Liga Perdana, Shahzan Muda, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Mereka yang turut pernah mewakili Selangor dalam karier sebagai pemain, dijangka sama-sama menerajui kelab Pahang itu bagi menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia yang menyingkap tirainya pada Januari tahun depan.

Zainal yang sebelum ini pernah melatih dan membawa Pahang memenangi Liga Super 2004 dan Piala FA 2006 sebelum beralih kepada pengurus musim 2007-2008, mengesahkan haluan barunya itu pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Subang Jaya, Selangor, semalam.

“Menerajui sebuah pasukan bersama-sama Dollah memang menjadi idaman saya sejak sekian lama setelah kami beberapa tahun bergandingan sebagai penyerang Selangor dan skuad kebangsaan,” katanya di mana anaknya, Zaiza Zainal bakal meneruskan khidmat selaku bek tengah Gergasi Merah bagi semusim lagi.

Teka-teki pasukan kendalian Dollah selepas khidmatnya tidak disambung oleh Selangor musim depan, terjawab dengan kenyataan Zainal itu walaupun sebelum ini rakan karibnya itu menyatakan mahu berehat terlebih dulu sepanjang bulan puasa lalu dan dikhabarkan mendapat tawaran Johor-Pasir Gudang.

Bagaimanapun kata Zainal: “Pada dasarnya saya bersetuju tetapi satu pengumuman rasmi akan dibuat oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, tidak lama lagi.”

Shahzan Muda sebelum ini dibimbing oleh Tajuddin Nor, dengan menduduki tempat ke-10 daripada persaingan 13 pasukan Liga Perdana dan terkandas pada pusingan pertama Piala FA kepada Kuala Lumpur secara agregat 4-0 sepanjang musim 2007-08 selain gagal ke Piala Malaysia.

Pencapaian Selangor di bawah Dollah pula sepanjang musim lalu menyaksikan skuad Merah Kuning di tangga keempat Liga Super, naib juara Piala FA dan Piala Malaysia sementara Zainal menguruskan Pahang yang menduduki tempat kelapan liga, separuh akhir Piala FA dan gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Malaysia.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50TgnewVu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 30 Oktober 2019

Skuad Liga Super Pahang 2014

Ketua Jurulatih: Ronald Smith
Penolong Jurulatih: Zainal Abidin Hassan
Jurulatih: Ahmad Shaharuddin Rosli
Jurulatih Penjaga Gol: Mudzar Mohamad

Penjaga Gol: 1 Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid, 23 Mohd Nasril Mat Nourdin, 22 Muhammad Saufi Mohd
Pertahanan: 2 Jalaluddin Abu Jaafar, 3 Mohd Saiful Nizam Miswan, 4 Damion Delano Stewart, 6 Zesh Rahman, 13 Mohd Razman Roslan, 14 Mohd Faisal Mohd Rosli, 16 Mohd Hazri Rozali, 17 Mohd Zaiza Zainal Abidin, 18 Muhammmad Syawal Norsam, 20 Mohd Shahrizan Mohd Salleh
Tengah: 7 R. Surendren, 8 Azidan Sarudin, 11 Mohd Faizol Hussain, 15 Abdul Malik Mat Ariff, 21 Mohd Hafiz Kamal, 24 R. Gopinathan
Penyerang: 9 Matias Ruben Conti, 10 Dickson Nakaeme, 12 Azamuddin Mohd Akil, 19 Mohd Fauzi Roslan, 25 Mohd Shafie Zahari
sumber:http://malaysiafootball-dimos.blogspot.com/2013/11/liga-malaysia-2014.html

Zainal mahu Tok Gajah kekal positif

ROSILAWATI ROSEDI
22 Julai 2014
Zainal Abidin
Zainal Abidin Zainal Abidin
PEMAIN Pahang diminta mengekalkan momentum positif sebelum kempen Piala Malaysia 2014 membuka tirainya, 13 Ogos depan.

Pengendalinya, Zainal Abidin Hassan memberitahu, setakat ini semua pemain berjaya mempamerkan aksi positif sepanjang latihan sepanjang Ramadan ini.

Malah skuad itu membuktikan semangat mereka apabila membenam T-Team, 3-1 dalam aksi sulung perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu lalu.

Ketika dihubungi Sinar Harian semalam, Zainal Abidin berkata, kemenangan itu menyuntik moral pemain sebelum meneruskan tiga lagi siri perlawanan ujian sepanjang minggu ini.

“Bagi saya kemenangan ini begitu bermakna selepas kami berehat panjang dan hanya menjalani latihan sepanjang Ramadan ini.

"Walaupun masih ada kelemahan, ia tidak begitu ketara kerana fokus pemain tidak luntur terutama untuk mengekalkan gelaran juara Piala Malaysia musim ini,” katanya semalam.

Menurutnya, saingan Kumpulan A yang turut disertai JDT II, Felda United dan Lions XII seimbang dan semua pasukan memiliki kelebihan masing-masing.

“Yang pastinya semua mempunyai misi untuk mengalahkan Pahang selaku juara bertahan dan ini memang memberikan tekanan buat Tok Gajah pada musim ini,” katanya.

Justeru bekas pemain kebangsaan itu mengharapkan latihan dan perlawanan persahabatan yang dirancang digunakan sebaik mungkin oleh pemain dalam misi penting Pahang mempertahankan piala berprestij itu untuk musim ini.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 23.7.14

Sabtu, 26 Oktober 2019

Zainal Abidin kekal bimbing Melaka United


SUKAN»Bola
Sabtu, 26 Oktober 2019 | 3:46pm
 
Zainal (baju merah) terus diberikan mandat untuk menerajui skuad Hang Tuah pada musim depan. - NSTP/Rasul Azli Samad
Zainal Abidin kekal bimbing Melaka United

Oleh Fairuz Zaidan
sukanteam@nstp.com.my

MELAKA: Tanda tanya mengenai kedudukan pengendali Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan sama ada dikekalkan atau sebaliknya, terjawab hari ini apabila beliau terus diberikan mandat untuk menerajui skuad Hang Tuah pada musim depan.

Mengesahkan perkara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari, berkata Zainal turut diberi pilihan menentukan barisan pemain untuk memperkuat skuad itu pada musim depan dengan penumpuan pada ciri fizikal serta pemain muda.

“Kita akan lihat kembali potensi fizikal pemain kita sedia ada, selain memberi kebebasan kepada Zainal sebagai jurulatih untuk menentukan pemainnya.

“Sudah tentu (hasrat) kita untuk lihat potensi pemain muda untuk memberikan cabaran baharu kepada saingan musim depan,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Program Bazar Peduli Rakyat (BPR) peringkat negeri 2019 di Dataran Mat Riau, Bukit Baru, di sini, hari ini.

Ditanya sebarang sasaran Penunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan kepada Zainal untuk MU pada musim depan, Adly yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, ia masih belum ada tetapi akan ditetapkan kemudian.

“Kita juga akan lihat kepada bajet keseluruhan pasukan pada musim depan, termasuk mahu melihat potensi pemain terlebih dahulu.

“Secara keseluruhan prestasi MU musim ini masih ditahap membanggakan kerana kita berjaya memperbaiki keputusan carta liga di tangga keenam, berbanding ketujuh pada musim sebelumnya.

“Jika kita lihat, MU bermula agak cemerlang tetapi atas faktor kecederaan membuatkan prestasi pasukan sedikit terjejas,” katanya.

Mengenai tunggakan gaji, Adly berkata selain ia menjadi tanggungajawab MUSA, isu itu juga tidak lagi timbul kerana ia akan diselesaikan di peringkat pengurusan.

Zainal yang juga bekas pemain kebangsaan sebelum ini dipetik sebagai berkata, tiada sebarang perbincangan mengenai jawatan itu selepas misi MU terhenti di suku akhir Piala Malaysia, akhir bulan lalu.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 26 Oktober 2019 | 3:46pm

Khamis, 24 Oktober 2019

Zainal puas dinobat jurulatih terbaik


MyMetroNode
Oleh Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Zainal Abidin Hassan mengakui teruja dan gembira apabila dipilih pemenang Jurulatih Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABSK) 2014, baru-baru ini.

Katanya, semangat dan cinta kepada bola sepak terutama ketika bersama Pahang akhirnya dihargai.

“Saya bersyukur dan berterima kasih atas penghargaan ini yang secara tidak langsung menghargai usaha saya dalam bola sepak,” katanya.

Zainal Abidin berkata, sokongan padu peminat banyak membantu hingga Pahang bergelar juara.

“Justeru, saya anggap anugerah ini milik kami bersama,” katanya.

Musim ini, selain mempertahankan Piala Malaysia buat kali kedua-dua berturut-turut, Zainal Abidin turut memastikan Piala FA dan Piala Sumbangsih menjadi milik Tok Gajah.

Selain Zainal Abidin, empat anugerah lain turut menjadi milik Pahang menerusi Khairul Azhan Khalid yang meraih dua anugerah Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Paling Bernilai.

Selain itu, pemain pertahanan, Mohd Razman Roslan menerima Anugerah Pertahanan Terbaik dan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang melahirkan ramai pemain berkaliber negara turut menerima anugerah Persatuan Bola Sepak Terbaik.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:03 AM


Isnin, 14 Oktober 2019

Olimpik 2000 mampu dengan pasukan elit


ARKIB : 12/05/1998
DARIPADA sebuah pasukan yang disangsikan keupayaannya, kini skuad Olimpik 2000 mampu mendabik dada untuk berdiri sama tinggi dengan pasukan elit yang lain, lapor AMRAN MULUP.

Persembahan Olimpik yang dibimbing oleh jurulatih dari Tunisia, Hatem Souissi tampak mencurigakan pada aksi awal mengharungi pusingan kelayakan Perdana Satu Mac lalu.

Malah di kalangan peminat langsung tidak ambil peduli akan kehadiran Olimpik yang disifatkan bakal menjadi belasahan.

Malah kejayaan melayakkan diri ke Perdana Satu mengenepikaan pasukan yang lebih berpengalaman seperti Melaka dan Johor turut disifatkan sebagai nasib.

Begitu juga ketika mengharungi kempen pertama Perdana Satu apabila sekadar seri 0-0 dengan Brunei, tunduk 0-1 kepada Perak dan teikat 0-0 menentang Kedah dan seri 1-1 dengan Negeri Sembilan.

Aksi awal menjelaskan betapa skuad Olimpik mampu beraksi cemerlang tetapi dikecewakan dengan masalah ketumpulan jentera serangan.

Laungan Hatem menyatakan anak didiknya masih memerlukan masa untuk bangkit rupanya bukan omong kosong. Keyakinan jurulatih itu ada asasnya.

Kemenangan mengejutkan 1-0 Olimpik ke atas juara Liga Perdana musim lalu, Sarawak juga belum menimbulkan keyakinan bahawa anak didik Hatem mula menunjukkan sengat.

Aksi paling menarik ketika hampir-hampir melakukan kejutan ke atas juara Piala Malaysia musim lalu, Selangor selepas mendahului 2-0 pada satu ketika menerusi Faziallah Maman dan V. Saravanan.

Namun kealpaan benteng pertahanan dalam tempoh lapan minit selepas jaringan ketua pasukan Selangor, Zainal Abdin Hassan terus meranapkan kedudukan selesa untuk Merah Kuning mendahului 3-2.

Namun jaringan cantik Gilbert Cassedy dari sepakan percuma melencong menerjah jaring untuk mengikat kedudukan 3-3, menjelaskan betapa Olimpik bukan lagi pasukan yang dianggap budak belasahan.

Di hadapan ribuan penonton yang turut menyaksikan siaran langsung, rata-ratanya menghela nafas lega akan kehebatan sebenar Olimpik yang nyaris-nyaris mencoretkan malu ke atas Selangor.

Rumusan Hatem perlawanan itu sepatutnya menjadi milik mutlak Olimpik, akur anak didiknya hilang kepercayaan dan keyakinan seolah-olah tidak percayakan mereka sedang mengatasi gergasi bola sepak dengan 2-0.

Faktor kurang pengalaman jelas membuka mata Hatem satu persatu kekurangan yang perlu diatasi dari semasa ke semasa.

Yang jelasnya, pertemuan Olimpik menanti kunjungan pandahlu liga Perdana Satu, Pahang di Stadium Merdeka Jumaat, bakal menyajikan pertembungan dramatik.

Jika sebelum ini peminat rasa berat untuk turun ke Stadium Merdeka, namun kini masing-masing sudah memahatkan keinginan mahu melihat aksi Olimpik untuk menjinakkan Pahang pula.

Menilai satu persatu kelibat anak didik Hatem jelas masing-masing mula menunjukkan kematangan jauh daripada aksi sebenar di Piala Belia Dunia, Jun tahun lalu.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4JNwc1ueS © Utusan Melayu (M) Bhd